Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mengesahkan Anwar Ibrahim akan menyertai kempen pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, esok.

Dia berkata, perdana menteri akan menghadiri dua program di kawasan Felda sekitar Pelangai bagi membantu calon BN, Amizar Abu Adam.

"Esok perdana menteri akan turun di kawasan Felda, satu program bersama usahawan ataupun mereka yang menerima (dana) Amanah Ikhtiar," katanya.

Shamsul Iskandar berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kempen PRK Pelangai dan pembabitan jentera PKR dalam membantu calon BN di situ.

Difahamkan Anwar juga akan menyertai ceramah mega perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai jam 8.30 malam esok.

Berdasarkan poster ceramah itu, antara pimpinan dijangka hadir adalah Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Parti Demokratik Progresif, Tiong King Sing.

Terdahulu Shamsul Iskandar merasmikan Karnival Wanita Madani di Kuantan, Pahang, yang disertai kira-kira 500 usahawan dan agensi kerajaan.

Ketika ditanya mengenai peluang calon ditampilkan Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu, dia berkata kelebihan masih dimiliki calon BN kerana kawasan berkenaan adalah kawasan 'selamat'.

Katanya meskipun terdapat kira-kira 7,000 pengundi di kawasan Felda yang merupakan kubu BN, namun bilangannya hampir sama dengan pengundi luar.

"Jadi pada saya ia bukan juga satu pertempuran atau pilihan raya yang mudah untuk kerajaan perpaduan.

"Kita bekerja keras kerana kita mahukan kesinambungan selepas di Johor (Pulai dan Simpang Jeram), sekarang di Pahang (Pelangai), selepas ini di Sarawak (DUN Jepak) dan lepas itu di Kemaman.

"Jadi kita harap ada kesinambungan itu supaya berterusan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan," katanya lagi.

Kerusi Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Johari Harun yang terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

PRK Pelangai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN, Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS