Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Rosdy tolak spekulasi akan sertai kabinet, fokus PRK Pelangai

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail enggan melayan spekulasi yang mengatakan dia akan dilantik menjadi anggota kabinet Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

Sebaliknya, kata Wan Rosdy tumpuan kini diberikan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

Katanya, sebagai "orang parti" dia sedia patuh atas segala ketetapan yang dibuat namun menganggap spekulasi yang bertiup ketika ini sebagai khabar angin.

"Saya anggap khabar angin dan saya tak fikir sangat serius sebab saya hendak tumpu kepada PRK Pelangai.

“Orang hendak tulis apa tulislah, saya tahulah (wartawan) tulis (artikel) ini untuk ambil perhatian pembaca, tapi saya hendak fokus PRK. Itu hanya khabar angin.

"Saya ini orang parti dipanggil datang dan di suruh pergi, tapi yang keluar khabar angin itu hanya khabar angin, tak sahih, perdana menteri pun dah kata sedang mempertimbangkan," katanya ketika ditemui di SMK Seri Pelangai di Bentong, hari ini.

Terdahulu hari ini media melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang turut memetik nama Wan Rosdy antara tokoh bakal menyertai Kabinet Anwar Ibrahim.

Keputusan mengangkat Wan Rosdy ke Kabinet selepas dia menang sebagai naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Selain Wan Rosdy, nama Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani turut disebut-sebut bakal menganggotai Kabinet.

Terdahulu hari ini perdana menteri tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan Kabinet, namun akan berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu.

“Jadi sekarang fokus kepada PRK Pelangai, saya tidak tahu apa tujuan mereka keluar kenyataan itu sedang kita menghadapi pilihan raya," kata Wan Rosdy.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam bahawa sokongan terhadap calon BN di Pelangai masih belum memuaskan.

"Kepuasan ini sehingga 7 Okt dan tujuan (kenyataan itu) supaya jentera terus bekerja kuat mencari pengundi dan jangan berada dalam zon yang selesa.

"Jadi, dalam perjuangan ini kita sebelum diisytiharkan menang kita jangan rasa puas hatilah,"katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS