Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPDN kaji kerjasama strategik program Rahmah dengan kedai koperasi

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata pihaknya sedang mengkaji kerjasama strategik program jualan Rahmah dengan kedai koperasi.

Jelas Fuziah, kerjasama seumpamanya perlu bersifat lestari.

"Ada cadangan untuk membangunkan semula kedai seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tapi kita juga sedang kaji perkara itu.

"Selain itu, ada juga cadangan untuk menjadikan kedai koperasi sebagai rakan strategik dalam memperluaskan konsep jualan Rahmah itu sendiri.

"Ini kerana (kerjasama) dengan kedai koperasi lebih sustainable (lestari) dan dulu Kedai Rakyat 1Malaysia tak sustainable.

"Kalau kita nak buat pun, kena pastikan sustainable, boleh bertahan lama dan tidak gagal di tengah jalan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh sebelum ini mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim memperkenalkan semula konsep KR1M bagi meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup.

KR1M diperkenalkan bekas perdana menteri, Najib Razak pada tahun 2011 sebagai inisiatif mengurangkan beban ditanggung rakyat ketika itu, di samping membantu pengusaha kecil dan sederhana.

Namun, KR1M hanya mampu bertahan selama enam tahun dan pada 2017, ia ditutup selepas kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan.

Pada 2018, KR1M distrukturkan semula sebagai KRIM 2.0 dengan sasaran untuk menjadikan 50 kedai sebagai KR1M 2.0.

Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada 2019, KR1M dicadang dijenamakan semula sebagai "Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna" (i-KeeP) namun ia juga tidak bertahan lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS