Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong ulang aduan pelancong tak dibenar berseluar pendek, minum arak
Diterbitkan:  Sep 28, 2023 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempertahankan dakwaannya mengenai aduan pelancong bukan Islam yang dikatakan dilarang berseluar pendek dan meminum arak di Langkawi.

Kata Tiong, dia tidak tidak mahu bertikam lidah dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengenai aduan pelancong berkenaan.

"Jika isu ini berlanjutan ia akan mengundang lebih banyak perbalahan sehingga masalah yang dibangkitkan tidak selesai dan juga merugikan masyarakat.

"Bagaimanapun saya tetap dengan pendirian saya bahawa saya sekadar mengangkat aduan pelancong dengan niat memperbetul mana yang silap dan perbaiki kelemahan yang ada sebelum ini menjadi lebih parah," kata Tiong dalam catatan di Facebook.

Tiong baru-baru ini di Parlimen mendakwa terdapat pelancong yang mengadu kepada kementerian itu berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi yang mengganggu pelancong mengenai etika pemakaian dan pengambilan alkohol.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Sanusi yang mengatakan dia tidak memahami isu yang dibangkitkan Tiong.

"Tak tahulah kenapa isu ini dibangkitkan, mungkin ada orang 'cucuk' beliau agaknya. Saya bukan nak gaduh dengan menteri tetapi beliau seharusnya datang tengok sendiri dan bukannya dengar cakap orang lain semata-mata.

"Menteri itu boleh 'mai' (datang) ke Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam dan tak ada siapa melarang pun.

"Sesiapa pun kalau agama mereka benarkan, pakailah tetapi tak bolehlah pakai sesuatu yang mencolok mata atau berbogel di pantai kerana itu tak sesuai dengan budaya kita,” katanya dalam laporan yang disiarkan Berita Harian.

‘Malang isu ini dijadikan modal politik’

Mengulas lanjut Tiong berkata amat malang apabila aduan pelancong yang menyumbang kepada ekonomi negara tidak dipandang serius malah cuba dinafikan.

"Alangkah elok jika siasatan dijalankan tidak kira ia kes besar mahupun kecil kerana setiap aduan yang dibangkitkan oleh pelancong, sama ada tempatan atau pelancong antarabangsa, harus diteliti sebaik-baiknya.

"Lebih malang apabila perkara penting sebegini dijadikan modal politik pula sehingga tergamak mencetuskannya sebagai isu perkauman. Sedangkan saya membangkitkan perkara ini di dewan mulia Dewan Rakyat semata-mata mahu mencari penyelesaian dan kata sepakat daripada ahli-ahli parlimen yang berbilang kaum.

"Sebagai menteri, saya akan melakukan yang terbaik bagi menambah baik mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan, tanpa mengira siapa pun parti yang memerintah di negeri-negeri berkenaan," kata Tiong.

Dalam pada itu, dia berkata terdapat segelintir ahli politik di negara ini dilihat berebut-rebut membuat kenyataan termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyentuh cara berpakaian orang bukan Islam di Kelantan yang diperintah PAS.

“Contohnya apa yang berlaku di Kelantan di mana peniaga dikenakan kompaun atas alasan berpakaian tidak sopan di premis perniagaannya sendiri.

“Tidakkah ini membuktikan wujudnya "Little Napoleon" di lapangan khususnya bahagian penguatkuasaan?

“Tidakkah ini mencerminkan amalan ekstremis dan menafikan hak serta kebebasan rakyat Malaysia berbilang kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

“Tidakkah ini juga menjejaskan imej negara di mata pelancong antarabangsa, seterusnya tidak lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka,” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS