Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilang kerusi Kemaman: PAS akan teliti keputusan hakim

PAS akan meneliti perakuan hakim terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada akan membuat rayuan atau tidak berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang membatalkan kemenangan calon PN Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU ke-15 lalu.

“PAS akan buat keputusan sama ada merayu atau tidak setelah meneliti alasan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya yang membuat keputusan ini, iaitu berdasarkan Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata  Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan kes berkenaan.

Che Alias Hamid

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul yang juga adalah calon BN.

Keputusan dibuat setelah mahkamah berpuas hati bahawa pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Bagaimanapun mahkamah bersetuju untuk menangguhkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah hari ini sehingga 3 Oktober depan.

Ini sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada pihak responden.

Peguam Che Alias, Yusfarizal Yussof mengesahkan kepada Malaysiakini mengenai keputusan tersebut dan ketika ditanya jika PN akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan, peguam itu berkata mereka akan membincangkan isu berkenaan. 

Ahmad Fadhli Shaary

Sementara itu Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaary berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah, dan terpulang kepada perbincangan di peringkat tertinggi parti untuk merayu atau tidak.

“Sekiranya parti ambil keputusan untuk tidak merayu bagi menjimatkan masa, sudah tentu akan berlaku pilihan raya kecil (PRK) dan wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengendalikan pilihanraya kecil ini. 

“Namun, kita berikrar akan pertahankan parlimen Kemaman sekali lagi dalam pilihanraya kecil dengan majoriti yang lebih besar Insya-Allah,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan rasa pelik apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri boleh umumkan peruntukan kerajaan semasa musim pilihan raya bukannya satu rasuah seperti yang dilakukan oleh timbalan perdana menteri sendiri di Terengganu ketika berkempen untuk PRN baru-baru ini.

“Sedangkan mahkamah memutuskan hari ini segala macam bentuk bantuan kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya umum ialah satu bentuk sogokan yang bertujuan mempengaruhi pengundi.

“Jika berlaku PRK, secara peribadi saya berpandangan calon BN yang paling sesuai ialah  Ahmad Said. Kita berlawan pula sekali lagi Abang Mad,” katanya dalam tulisan di Facebook.

Untuk rekod pada PRU15 lalu Che Alias berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 27,197 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS