Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri disaran bangunkan kawasan penanaman padi

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyarankan supaya kerajaan negeri membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing, bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Menterinya Mohamad Sabu berkata langkah berkenaan juga memerlukan kerjasama pelbagai kementerian termasuk KPKM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dia berkata terdapat beberapa negeri yang turut berpotensi untuk dibangunkan tanaman padi iaitu Sabah dan Sarawak, selain kawasan sawah terbiar di Negeri Sembilan, serta mencari jalan terbaik untuk meningkatkan sistem pengairan untuk tanaman tersebut.

“Hal padi dan beras ini bukan tanggungjawab individu, dia tanggungjawab seluruh negara, sekuriti makanan ni semuanya kena terlibat termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, swasta dan pengusaha. Ia masalah negara dan dunia, semua kena tumpu ke arah mengurangkan bebanan ini.

“Tanah ialah kuasa kerajaan negeri dan mesti mereka bekerjasama, tak kiralah dia pembangkang ke pemerintah ke, soal makanan ini, takda (isu) pembangkang tak perlu makan, pemerintah tak perlu makan, kerana semuanya perlu.

Mohamad Sabu

“Di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), kita bantu sistem pengairan supaya dapat buat padi lima musim dua tahun. Tapi tak bolehlah lancarkan tahun ini, tahun depan akan berjaya, ambil masa sekurang-kurangnya tiga, empat tahun dari sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Pemasar Agro Madani (Khidmad) 2023, di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Mengenai program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT), Mohamad berkata stok BPT akan ditingkatkan ke setiap negeri kepada 1,100 metrik tan sebulan bagi memenuhi keperluan orang ramai dengan penambahan kepada 5,000 pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), terutama di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Justeru, dia sekali lagi menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik kerana bekalan BPT masih mencukupi dan belum menggunakan stok kecemasan, selain BPT itu akan dihantar ke pasar raya bagi supaya tidak tertumpu di pusat jualan Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Selain itu, Mohamad berkata dia akan mengadakan pertemuan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), antara lain bagi membincangkan cara menstabilkan bekalan beras dalam negara di pejabat KPKM, esok.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata pihaknya bersiap sedia dan sentiasa bekerjasama dengan agensi termasuk Fama dan pihak swasta dalam menjamin bekalan makanan pada musim tengkujuh selain menasihatkan petani untuk tidak menanam tanaman yang dijadualkan matang pada waktu tersebut.

Sementara itu, dia berkata jualan Agro Madani sehingga 20 Sept lepas mencatatkan nilai jualan RM43.5 juta di 2,282 lokasi seluruh negara, membabitkan 34,123 usahawan dengan nilai penjimatan RM13.05 juta kepada 4.56 juta isi rumah.

Katanya lagi, melalui Jualan Agro Madani komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan termasuk di kompleks atau pejabat kerajaan, kedai peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS