Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga Felda di Pelangai masih kubu kuat BN - Ismail Sabri

PRK PELANGAI l Ismail Sabri Yaakob menepis dakwaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Felda kini bukan lagi kubu kuat bagi BN.

Sebaliknya kata bekas naib presiden Umno itu, tiga Felda dalam kawasan DUN Pelangai iaitu Chemomoi, Kemahal dan Kemasul masih lagi kubu kuat BN.

"Ya lah itu andaian dia, tapi dari segi kita BN kita masih lagi menganggap BN sebagai kubu kuat kita. Simpanan tetap kepada kita, kubu kuat kepada kita.

"Untuk di Bentong ni, Pelangai ni, tiga Felda untuk PRU15 semua menang walaupun di tempat lain banyak kalah, tempat ini masih menang," katanya ketika ditemui di Felda Kemahal, dekat Bentong, semalam.

Ismail Sabri meluangkan masa bertemu warga peneroka Felda Kemahal yang sinonim dengan Ahli Parlimen Bera itu.

Kehadirannya disambut dengan kenduri rakyat yang diadakan bersama warga Felda.

Warga peneroka dilihat masih lagi memberi sokongan dan setia kepada BN

Ahad lalu, Tuan Ibrahim mendakwa kawasan penempatan Felda kini tidak lagi menjadi kubu kuat Umno.

Menurutnya, perkara itu terbukti apabila sokongan peneroka dilihat sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Kalau dulu sebut Felda, kubu Umno sekarang tidak dan kini menjadi kubu kuat PAS dan Bersatu. Tengoklah pilihan raya baru-baru ini, mana ada Felda, kita menang besar.

Tuan Ibrahim Tuan Man

"Yang paling tragis DUN Pulau Tawar yang mempunyai banyak Felda, iaitu 16 kawasan. Logik akal tak menang sebab peneroka hutang budi (kepada Umno), tetapi PN menang juga," katanya dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Chemomoi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menasihatkan pengundi BN supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak lawan bahawa kemenangan calon PN tidak akan merubah kerajaan.

"Pengundi-pengundi jangan terpengaruh (bahawa) BN menang tak bawa perubahan kita masih memerintah di Pahang, itu dakyah mereka. Kita mesti pastikan kerusi ini kekal kepada Umno, BN.

"Saya percaya gelombong hijau tidak akan sampai di Penagai ini, saya percaya Umno, BN mampu mengekalkan kerusi ini yang secara tradisinya kita tidak pernah tercalar dengan kekalahan," katanya.

Ismail Sabri merayu pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 7 Okt nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS