mk-logo
Berita
Lombong emas di K'tan berkait pemimpin PAS jejas haiwan terancam
Diterbitkan:  Sep 26, 2023 10:00 AM
Dikemaskini: 2:08 AM

Sebuah syarikat berkaitan kerajaan Kelantan sedang membangunkan projek melombong emas seluas 185 padang bola di tengah-tengah hutan simpan negeri itu yang kini melalui proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Mengikut dokumentasi sedia ada, projek perlombongan itu telah beroperasi sejak 2017, dengan aktiviti telah pun bermula sebelum penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang sewajarnya dijalankan.

Pada 4 Sept lepas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memuat naik laporan di laman webnya yang mendedahkan tapak seluas 199.7 hektar dengan jangkaan tempoh perlombongan selama 82 tahun terletak di Lot 11311 kawasan Hutan Simpan Jentiang di Dabong, Gua Musang.

Firma di sebalik projek itu ialah Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB).

Laporan EIA menyatakan tanah itu pada asalnya ditetapkan sebagai Hutan Simpan Kekal dan Tanah Hutan.

Bagaimanapun, pada November 2022, kawasan itu telah diberikan penukaran guna tanah bersyarat untuk membenarkan aktiviti perlombongan.

Aktiviti perlombongan emas akan memberi kesan kehilangan habitat kepada hidupan liar yang jarang ditemui di hutan simpan tersebut.

Ini termasuklah Tenggiling Sunda, Ayam Pegar (Malay Crestless Fireback), Tapir Malaya dan gajah Asia, kata laporan EIA itu lagi.

Setiausaha Agung PAS dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan antara ahli Lembaga Pengarah AYSB.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan AYSB mempunyai pemegang saham tunggal - Yayasan Kelantan Darulnaim (Yayasan Kelantan Darulnaim atau Yakin).

Ditubuhkan pada 1981, Akademi Yakin asalnya sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab membantu pelajar Kelantan.

Lembaga pengarah AYSB terdiri daripada lima ahli, termasuk bekas timbalan menteri besar Kelantan Mohd Amar Abdullah, pegawai kewangan kerajaan negeri Norazman Abdul Ghani, Setiausaha Agung PAS dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, Pengarah Yakin Shamsul Abu Bakar dan Adun Kadok Azami Mohd Nor.

Kesalahan jalankan kerja tanpa EIA

Laporan EIA menunjukkan bahawa AYSB bekerjasama dengan Dazr Holding Sdn Bhd (dirujuk sebagai DAZR) dalam projek usaha sama melombong emas itu.

Menurut SSM, DAZR ditubuhkan pada 19 Julai 2016, dengan aktiviti perniagaan merangkumi khidmat nasihat pelaburan, subkontrak dalam operasi perhutanan dan perladangan hutan serta perlombongan bijih besi.

Dua pemegang sahamnya, Wan Azuan Awang dan Wan Khairul Hazran, dipercayai bapa dan anak. Selain itu, Wan Azuan yang memegang 90 peratus kepentingan menjadi pengarah tunggal DAZR.

Laporan Ketua Audit Negara 2020 mendedahkan AYSB terlibat dalam enam projek perlombongan emas sepanjang tempoh audit, dengan salah satu projek usaha sama dengan DAZR.

Walaupun tidak menyebut DAZR secara jelas, gambar papan maklumat tapak perlombongan yang dilampirkan bersama laporan audit berkenaan mengesahkan pembabitan firma itu.

Laporan audit itu selanjutnya menyatakan AYSB belum menandatangani perjanjian kerjasama rasmi dengan DAZR dan kedua-dua pihak berada di peringkat akhir untuk menyediakan perjanjian itu sambil menunggu kelulusan EIA.

Semasa pemeriksaan lapangan pada September 2020, pegawai daripada pejabat Ketua Audit Negara mendapati DAZR telah pun memulakan aktiviti penerokaan tanah.

Bagaimanapun, AYSB dan pejabat tanah Kelantan tidak menjalankan pemantauan yang mencukupi ke atas tapak perlombongan, yang berpotensi memberi ruang kepada perlombongan haram.

Laporan itu juga mendedahkan amalan meneruskan aktiviti perlombongan sebelum mendapat kelulusan sewajarnya, yang membawa kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengeluarkan notis pembetulan kepada AYSB pada Disember 2021, mengkritik operasi atau kegiatan perlombongan mereka sebelum laporan EIA diluluskan.

"AYSB telah menerima notis bertarikh 2 Disember 2021 daripada PTG mengenai kesalahan kerana menjalankan kerja berkaitan pembangunan/perlombongan di tapak kawasan pajakan walaupun permohonan EIA belum diluluskan.

"Notis PTG tersebut memaklumkan bahawa kes ini telah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan PTG bagi siasatan di bawah Seksyen 159 Enakmen Mineral 2001 dan AYSB diberikan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dijalankan," kata laporan Ketua Audit Negara.

Pejabat Ketua Audit Negara, dalam laporan itu, mengarahkan AYSB mengambil langkah proaktif supaya memastikan pemeteraian kontrak segera dibuat dan permulaan projek perlombongan emas itu untuk mula mendapat keutungan daripada usaha niaga itu.

Emas bernilai RM167 juta

Menurut laporan juruaudit, AYSB memperoleh lesen cari gali dan perlombongan dengan lesen pertama sah selama setahun (dari 14 Ogos 2017 hingga 13 Ogos 2018) dan yang terakhir selama lima tahun (dari 20 Jun 2019 hingga 13 Ogos 2024).

Pun begitu, laporan EIA mendedahkan AYSB kini telah memperbaharui lesen perlombongannya selama lima tahun lagi, dari 30 Jun 2019 hingga 29 Jun 2024.

Laporan itu juga menunjukkan dalam tempoh lapan dekad untuk operasi, perlombongan emas di Jentiang akan menyaksikan kira-kira 1,802,000 meter padu atau 3,604,000 tan metrik bijih digali dengan anggaran menghasilkan sekitar 595kg emas.

Berdasarkan harga emas semasa kira-kira RM280 segram, nilai keseluruhannya ialah RM166.6 juta, bersamaan dengan pengeluaran tahunan sebanyak RM203,1707.

Laporan EIA menyatakan projek perlombongan emas Jentiang tidak akan menggunakan kaedah pengekstrakan tradidional menggunakan sianida yang toksik.

Sebaliknya, pengekstrakan emas di lombong itu akan menggunakan agen larut lesap yang "mesra alam" yang dikeluarkan oleh syarikat China, dikenali sebagai CNLITE.

Laporan EIA menyatakan pasukan tinjauan, melalui pelbagai kaedah seperti rakaman, pemerhatian langsung atau tidak, mengenal pasti kehadiran 40 spesies mamalia, 77 spesies burung, 42 spesies reptilia dan 16 spesies ikan dalam kawasan perlombongan yang ditetapkan itu.

Bagaimanapun, ia mengakui disebabkan oleh batasan dalam kaedah pemerhatian, bilangan spesies sebenarnya mungkin lebih tinggi.

Antara haiwan yang dikesan di kawasan ini ialah spesies terancam yang tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) seperti tenggiling Sunda dan ayam pegar yang diletakkan dibawah kategori Terancam Teruk (risiko kepupusan di alam liar amat tinggi).

Selain itu, gajah Asia, tapir Malaya, monyet ekor pendek, kera ekor pendek, siamang dan merak pongsu yang diletak bawah kategori Terancam (risiko kepupusan di alam liar tinggi) turun dikesan di kawasan itu.

Begitu juga, spesies Lemah Terancam (risiko ancamam di alam liar tinggi) beruang matahari Malaya, kuang raya, burung enggang gatal birah, burung enggang badak dan burung daun besar.

Laporan EIA itu menekankan kehilangan habitat dan pemecahan kawasan hutan akan berlaku semasa fasa pembinaan dan operasi tapak perlombongan.

Ini akan mengakibatkan terputusnya hubungan dari satu kawasan hutan ke hutan lain, yang membawa kepada gangguan kepelbagaian biologi, pemindahan hidupan liar dari habitat asalnya, peningkatan konflik manusia-hidupan liar, pemburuan haram, kejadian kemalangan jalan raya dan hidupan liar yang berpotensi lemas di takungan perlombongan.

Untuk menangani isu-isu ini, laporan EIA itu mengesyorkan pelbagai langkah mitigasi, termasuk pemasangan pagar dan zon penampan 10 meter di sekitar kawasan perlombongan dan sungai di dalam kawasan perlombongan, pembersihan tanah secara berperingkat dan dikawal ketat, pembukaan ke arah arah hutan simpan yang lain untuk memastikan laluan melarikan diri untuk hidupan liar dan penempatan papan tanda untuk menghalang pemburuan haram dan mencegah kejadian kemalangan jalan raya.

Malaysiakini telah menghubungi AYSB dan DAZR untuk mendapatkan maklum balas.

Laporan EIA projek perlombongan emas Jentiang kini tersedia untuk tatapan umum di laman web JAS dan orang ramai boleh memberikan maklum balas melalui borang dalam talian sehingga 18 Okt 2023.

Klik pautan laman web Jabatan Alam Sekitar di sini untuk membaca laporan EIA itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS