Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan beberapa pusingan kerja dan pelantikan baru dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam melibatkan pemindahan empat Ketua Setiausaha (KSU) kementerian ke penempatan baru dan satu lantikan baru KSU.
Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini memaklumkan penempatan baru itu berkuat kuasa esok.
KSU Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Dr Zaini Ujang berpindah sebagai KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Isham Ishak berpindah sebagai KSU Kementerian Pertahanan manakala jawatan KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal diisi Hairil Yahri Yaacob, yang kini Timbalan KSU MITI.
KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof pula berpindah sebagai KSU Kementerian Perpaduan manakala KSU Kementerian Perpaduan Datuk Noridah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini dan percaya dengan kemampuan pegawai-pegawai yang dilantik untuk terus memacu kecemerlangan kementeian dan agensi masing-masing dalam menjayakan agenda Malaysia Madani,” kata Mohd Zuki.
- Bernama