Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fahmi saran SKMM tingkat libat urus dengan organisasi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggalakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan libat urus dengan semua organisasi.

Ia selepas sekumpulan pengamal media veteran mengkritik tindakan SKMM yang megarahkan portal MalaysiaNow menarik balik atau meminda artikelnya berkenaan kekecohan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

"Saya galakkan SKMM untuk terus mengadakan libat urus dengan semua organisasi.

"SKMM bukan memantau aspek ini saja, tetapi juga sektor lain.

"Saya hargai maklum balas yang diberikan pengamal media dan saya akan mendapatkan taklimat daripada SKMM untuk memahami apa yang berlaku dan bagaimana kita dapat buat penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Malaysia Digital Expo 2023 di Bandar Utama, Selangor hari ini.

Menurut Fahmi, dia baru pulang dari luar negara dak tidak jelas berkenaan isu antara SKMM dan MalaysiaNow, namun yakin suruhanjaya tersebut mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Katanya lagi, SKMM tidak merujuknya dalam segala tindakan yang diambil dan ada kala tindakan dibuat susulan siasatan polis atau aduan awam yang diterima.

Sementara dia menghormati pandangan wartawan dan kerajaan mempertahankan kebebasan media, media juga perlu membuat laporan dengan tepat, kata Fahmi sambil menambah memang ada aduan yang diterima dari orang awam "berkenaan sesetengah laporan".

Dia berkata inilah sebabnya kerajaan kini dalam proses menubuhkan majlis media yang akan mengendalikan isu-isu seumpama ini.

Semalam, sekumpulan pengamal media veteran mempersoalkan SKMM kerana "menyalahkan" MalaysiaNow berhubung laporan portal itu berkenaan kekecohan yang tercetus di Dewan Rakyat.

Laporan itu berkenaan ketegangan antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, dengan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin kemudian diarah keluar dewan.

SKMM mempertahankan arahan yang dikeluarkan dengan menyatakan artikel MalaysiaNow melaporkan kejadian itu di luar konteks dengan niat "menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi".

Portal itu setakat ini tidak menarik balik mahupun meminda artikel tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS