Paling Popular
Terkini

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hanya perlu menjalani hukuman penjara sembilan bulan ekoran sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan Sultan Selangor pada 2014.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan Wan Ji untuk mengurangkan hukumannya.

Bagaimanapun, panel hakim tidak membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan tersebut.

Sebelum ini dia dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Wan Ji bersalah atas tuduhan menghasut dan dia dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.

Pihak pendakwaan kemudian merayu terhadap hukuman itu.

Pada 9 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwa untuk hukuman yang lebih berat, dan meningkatkan tempoh tahanan Wan Ji kepada satu tahun penjara.

Tertuduh yang berusia 41 tahun kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail berkata tidak ada merit dalam rayuan Wan Ji untuk membatalkan sabitan.

Dia juga mengingatkan perayu bahawa kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang itu boleh berkata apa saja khususnya wujud peraturan mengenai isu 3R (agama, kaum dan raja-raja) di negara ini.

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati. Perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook tersebut memang tidak sesuai.

“Kalaulah kita ini genius sekali pun dalam bab agama, janganlah kita meperlekehkan orang lain. Lagi pandai, kita kena lagi tunduk.

“Kalau hendak bagi nasihat agama sekalipun, guna perkataan yang baik-baik barulah orang dengar.

“Jangan guna perkataan tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R.

“Hati-hati dengan perkataan sensitif ini,” ujar hakim itu.

Hadhariah kemudian mengeluarkan waran komital terhadap Wan Ji.

Seorang anggota polis dilihat membawa tertuduh keluar dari kandang untuk memulakan hukuman penjaranya hari ini.

Wan Ji diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala How May Ling bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Wan Ji pernah berkhidmat sebagai penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS