Paling Popular
Terkini

PRK PELANGAI | PAS mempersoal kenyataan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pendiriannya untuk "tidak mengganggu" kumpulan LGBT di negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata meskipun Anwar mahu menunjukkan pendekatan liberal, namun dia tidak boleh ada perasaan reda dalam soal maksiat.

Dengan memetik hadis, Tuan Ibrahim berkata Nabi Muhammad SAW sendiri meminta umat Islam supaya mencegah kemungkaran ataupun maksiat dengan apa saja cara, terutama apabila memiliki kuasa.

"LGBT (Anwar kata) jangan ganggu kumpulan ini, mana boleh tuan-tuan... Nabi kata (kena) cegah, tak boleh.... mana boleh kata jangan kita ganggu kehidupan mereka.

"Kalau macam tu tak perlu ada undang-undang negara. Kalau kita nak kata kita liberal, tapi ada benda yang jelas bercanggah tak boleh kita sokong," katanya ketika berceramah di Felda Chemomoi, Bentong, malam tadi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan pengharaman Malaysia terhadap sebarang unsur berkaitan LGBTQ+ baru-baru ini tidaklah sehingga membenarkan harrassment (gangguan melampau) ke atas komuniti terbabit.

Dalam temu bual dengan stesen berita CNN kelmarin, Anwar berkata, mengekang unsur LGBTQ+ dan mengizinkan harrassment adalah dua isu yang berbeza.

Tuan Ibrahim berkata jika kerajaan berpendirian untuk tidak mengganggu kumpulan LGBT ia akan memberi ancaman kepada masyarakat lain khususnya umat Islam.

"Bukan boleh reda...reda dengan perkara maksiat dapat dosa maksiat," katanya lagi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata PAS sedar calonnya Kasim Samat tidak akan mendapat peruntukan wakil rakyat jika menang dalam PRK pada 7 Okt ini.

Meskipun begitu, kata bekas menteri itu, PRK Pelangai penting bagi memberi tekanan kepada kerajaan Pahang pimpinan BN.

"Insya-Allah, Allah bantu kita, pertolongan (Allah) akan datang," tambahnya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat udara ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS