Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya jawab permohonan MP Pasir Gudang dalam masa 7 minit'

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan dua program Jualan Rahmah di Pasir Gudang, Johor, hujung minggu ini, sebagai maklum balas segera terhadap aduan kekurangan bekalan asas.

Ketika dihubungi, timbalan menterinya Fuziah Salleh berkata dia kini berada di luar negara tetapi telah menjawab "dalam masa tujuh minit" selepas menerima rayuan ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim awal pagi tadi.

"Saya menjawab mesejnya (Hassan) dalam masa tujuh minit walaupun saya berada di luar negara. Saya memberitahunya saya akan menghubungi Pengarah KPDN Johor (Lilis Saslinda Purnomo).

"Pengarah juga telah memberi maklum balas," kata Fuziah kepada Malaysiakini.

"Saya pun tak faham mengapa (Hassan berkongsi mesej itu kepada media). Kalau saya tak jawab lainlah," tambahnya.

Hassan dalam mesej terbukanya kepada Fuziah yang turut dikongsikan kepada media petang tadi berkata penduduk Pasir Gudang berang kerana tidak mampu membeli beras tempatan, minyak masak, telur dan gula.

“Mohon KPDN tolong rakyat kami di Pasir Gudang.

“Sama ada buat segera program Jualan Rahmah atau hantar bekalan makanan yang cukup ke Pasir Gudang sekarang,” kata Ahli Parlimen PKR itu.

Hassan Karim

Fuziah seterusnya berkata Hassan dimaklumkan oleh pengarah negeri bahawa dua Jualan Rahmah akan diadakan di Hwa Tai Kipmart Pasir Gudang hari ini dan esok.

Dia berkata satu lagi jualan juga akan dianjurkan Sabtu depan dari 9 pagi hingga 11 pagi di gelanggang futsal Taman Pasir Putih, selain pemantauan bekalan asas di kedai tempatan lain di kawasan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS