Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar sejarah puji penemuan candi purba di Bukit Choras

Pakar sejarah Ranjit Singh Malhi memuji pengumuman penemuan struktur candi Buddha terbesar di Bukit Choras, Yan, Kedah, yang dipercayai wujud sejak 1,200 tahun lalu.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa penemuan Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (GARC) Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan lebih banyak bukti konkrit mengenai sejarah semenanjung Tanah Melayu.

"Penemuan baru-baru ini struktur kuil Buddha purba yang besar di Bukit Choras, memberikan bukti tambahan bahawa budaya India telah menjadi tamadun yang menguasai ke atas kerajaan dan masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dari abad pertama hingga abad ke-14 Masihi.

"Orang Melayu sebahagian besarnya beragama Hindu-Buddha sebelum memeluk Islam," katanya.

Menurutnya, inisiatif Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama universiti tempatan menjalankan kerja-kerja penggalian sudah pasti merupakan satu langkah ke arah yang betul dalam mencungkil sejarah awal negara kita.

"Sebagai sebuah negara berbilang kaum, Malaysia mesti berbangga dengan warisan berbilang budaya dan agama," katanya.

Katanya, sejak kira-kira abad kedua Masihi, negara kota atau kerajaan kecil Melayu India seperti Kedah Tua, Gangga Negara (Perak) dan Langkasuka (Pattani, Thailand) mula muncul di Semenanjung Tanah Melayu.

Sebelum ini, pasukan penyelidik dari USM berjaya menemukan dua arca hampir lengkap dan prasasti (batu bertulis) selain serpihan tembikar tanah.

Penemuan oleh pasukan PPAG USM yang turut bekerjasama dengan JWN itu adalah ketika melakukan kerja-kerja ekskavasi dan penyelidikan di puncak bukit itu antara 28 Ogos hingga 12 Sept lepas.

Pensyarah Kanan PPAG Dr Nasha Rodziadi Khaw yang mengetuai penyelidikan ekskavasi di tapak arkeologi itu berkata pentarikhan awal yang dicadangkan bagi tapak candi itu adalah sekitar abad kelapan atau kesembilan Masihi iaitu sezaman dengan kebanyakan tapak candi lain di Lembah Bujang dan perkembangan zaman Srivijaya.

Katanya, berdasarkan kajian awal wujud persamaan seni bina candi di Bukit Choras dengan candi-candi di Jawa Barat dan Sumatera sekaligus menimbulkan persoalan mengenai hubungan kebudayaan antara Kedah Tua dengan tapak-tapak lain di Asia Tenggara.

Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan Mohd Azmi Mohd Yusof berkata penemuan arca dan prasasti serta serpihan tembikar tanah di tapak arkeologi itu dapat mengangkat lokasi itu untuk dijadikan sebagai satu produk pelancongan seperti tapak arkeologi yang lain.

Menurutnya, penemuan itu adalah yang terbaru oleh pasukan penyelidik dengan kerjasama JWN selepas wabak Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS