Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Ahli PKR bebas kritik saya, itu proses demokrasi
Diterbitkan:  Sep 23, 2023 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata anggota partinya yang bebas untuk mempersoalkan tindakan dan dasar pentadbiran adalah bukti agenda reformasi yang dilaksanakannya.

Dia berkata demikian dalam wawancara yang disiarkan CNN, di mana wartawan Christiane Amanpour membangkitkan kritikan Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim, yang mendakwa Anwar telah meninggalkan perjuangan melawan korupsi.

"Lihat secara positif, seorang ahli parti saya sendiri mengkritik saya, itu proses yang sangat demokratik.

"Kritikannya dalam isu ini...apa yang anda harap saya akan lakukan? Adakah saya patut arah peguam negara untuk ubah keputusannya?" soal Anwar.

Hassan lantang dalam menyuarakan kekecewaannya terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal bulan ini.

Hassan memberitahu Reuters yang Anwar lebih mementingkan survival pentadbiran dan kuasanya, berbanding agenda reformasi yang telah dijanjikannya kepada rakyat.

Amanpour kemudian bertanya kepada Anwar berkenaan penangkapan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang kemudiannya didakwa membuat kenyataan menghasut berkenaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Anwar berkata undang-undang perlu dihormati, terutama melibatkan institusi diraja.

"Ada undang-undang. Kecuali jika kita dapat buat perubahan dalam undang-undang itu, maka kita akan pertimbang sama ada untuk dakwa atau tidak.

"Saya fikir keperluan untuk melindungi institusi (diraja) adalah apa yang diputuskan rakyat sejak merdeka. Ini adalah sistem yang kita warisi.

"Apabila seorang individu dilihat (menghina atau) bersikap kesat terhadap raja dan peguam negara cenderung ke arah pendakwaan...sehinggalah kita dapat pinda undang-undang, undang-undang itu kekal," katanya lagi.

Dia kemudian menegaskan pihak yang mengkritiknya tidak akan didakwa mengikut akta hasutan, walaupun dia "dimaki" setiap hari.

"Saya tak boleh dikritik atas (tindakan) pendakwaan, itu keputusan mereka seluruhnya, terutama apabila anda sentuh soal raja.

"Jika isunya berkenaan kritikan terhadap perdana menteri dan saya ambil tindakan, maka (barulah) kritikan anda wajar," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS