Paling Popular
Terkini

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelangai, Mohammad Shahid Ismail pada 10.16 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong hari ini.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bentong, Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Amizar, 50, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi diikuti Kasim, 63, seminit kemudian dan Haslihelmy, 36, pada 9.08 pagi.

Terdahulu, Kasim tiba di Pusat Penamaan calon berkenaan dengan diiringi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden PAS, Idris Harun.

Manakala ketibaan Amizar diiringi Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang lain.

Proses penamaan calon yang dibuka jam 9 pagi tadi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak dingini, dengan penyokong parti yang bertanding juga menunjukkan tahap disiplin yang tinggi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Sept sebagai hari penamaan calon dan 7 Okt sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS