Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggesa pengamal media untuk membuat pelaporan yang bertanggungjawab, selain menekankan kepada ketepatan konteks liputan berita.
MCMC dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, adalah penting bagi pengamal media untuk mempraktikkan pertimbangan yang beretika, dan mengelakkan daripada menggunakan kandungan berita sebagai senjata untuk menyebarkan maklumat palsu.
“MCMC memandang serius kesan akibat pelaporan yang kurang bertanggungjawab terhadap masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Gesaan tersebut diutarakan MCMC bagi menjawab laporan berita yang disiarkan portal MalaysiaNow, berhubung kekecohan yang berlaku di Parlimen serta hantaran Facebook tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin semalam.
Dalam masa sama, MCMC turut menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen, tanpa menggunakan kandungan berkenaan bagi tujuan menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi.
“Pemerhatian MCMC mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan, serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), MCMC meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, MCMC menasihatkan para pegamal media untuk sentiasa mematuhi Kod Kandungan, supaya dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan.
“Dengan mengikuti garis panduan tersebut, saluran-saluran berita boleh menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat,” menurut kenyataan itu.
- Bernama