Rencana ini merupakan bahagian keenam dan terakhir dalam siri khas Hari Malaysia merungkai isu golongan tiada kerakyatan di Malaysia.
Daripada kehilangan bayi mereka selepas dianggap tidak sihat, sehingga kanak-kanak yang menderita dan mati akibat kelewatan akses kepada rawatan perubatan, Malaysiakini sepanjang minggu ini menerbitkan satu siri artikel yang mengetengahkan nasib masyarakat Bajau Laut yang tidak mempunyai kerakyatan di Lahad Datu, Sabah.
Banyak cabaran yang dihadapi ketika mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Lahad Datu.
Jabatan Kesihatan Sabah sejak itu telah membuat laporan polis menyangkal dakwaan bahawa kejadian "bayi dirampas" berlaku di sana.
Semasa penyiasatan Malaysiakini, diketahui bahawa Suhakam sebelum ini telah menjalankan siasatannya sendiri terhadap isu serupa yang menghalang individu tanpa kerakyatan daripada mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya di hospital.
LAPORAN BERKAITAN: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
Pasukan penyiasat itu diketuai oleh pesuruhjaya Suhakam Mariati Robert, yang bukan sahaja berkhidmat sebagai peguam besar Sabah dari 2013 hingga 2017 tetapi juga memegang peranan sebagai penolong pengarah undang-undang di Biro Bantuan Guaman Sabah.
Malaysiakini baru-baru ini menemu bual Mariati.
Temu bual telah disunting untuk ringkasan, bahasa dan kefahaman pembaca.
Malaysiakini telah mendokumentasikan beberapa kes di mana ibu tanpa kerakyatan mendakwa kehilangan atau diancam kehilangan hak penjagaan bayi mereka. Adakah Suhakam akan menyiasat dakwaan ini?
Mariati: Jika ada sindiket bayi (di Hospital Lahad Datu), pengarah (hospital), Dr Andi Md Shamsureezal, kena tahu dan kita boleh siasat (dakwaan). Dia seorang doktor yang berdedikasi dan sangat komited, tetapi kita mesti mempunyai butiran untuk ditunjukkan kepadanya.
Jika mereka (yang didakwa mangsa) mahu Suhakam siasat, mereka perlu membuat aduan kepada kami.
Adakah mangsa perlu membuat laporan polis sebelum Suhakam boleh menyiasat perkara itu?
Untuk sebarang siasatan (oleh Suhakam), ya, kita biasanya memerlukan mangsa untuk membuat laporan.
Ia adalah dunia yang sangat malap bagi mereka. Saya tahu.
Oleh itu, kami memahami bahawa mereka yang tidak mempunyai dokumen enggan membuat laporan polis kerana status imigresen mereka, sebab itu mereka datang kepada kami.
Kami menerima aduan mereka tanpa menilai status imigresen mereka dan menyiasat aspek hak asasi manusia dalam kes mereka.
Aimah, ibu tanpa kerakyatan yang didakwa kehilangan hak penjagaan bayinya di Hospital Lahad Datu, berkata dia mahu menuntut semula anaknya. Adakah itu boleh berlaku?
Jika dia telah menyerahkan bayi itu untuk diambil sebagai anak angkat secara sah, dia tidak boleh menuntut anak itu.
Tetapi jika dia tidak melakukannya, walaupun anda (orang awam) mahu membantunya, dia perlu membuat laporan polis dan untuk berbuat demikian, anda tidak boleh membuat laporan kerana anda tidak sepatutnya melindungi orang yang tidak mempunyai dokumen.
Jadi, mereka (yang dikatakan mangsa) tidak boleh membuat laporan polis. Tidak dinafikan, ia adalah masalah besar.
Pengambilan bayi Aimah sebagai anak angkat dikatakan berlaku di Lahad Datu. Mengikut pengalaman anda, adakah sukar untuk pengambilan anak angkat diluluskan?
Bukan mudah untuk pengambilan anak angkat diluluskan, sama ada di Mahkamah Tinggi atau mahkamah anak negeri.
Ketua-ketua yang mempengerusikan mahkamah anak negeri dilatih, tetapi saya tidak tahu betapa ketatnya prosiding itu.
Sebab itu (proses pengambilan anak angkat) mengambil sedikit masa. Saya tidak mempunyai pengetahuan khusus tentang berapa lama masa yang diperlukan di mahkamah anak negeri.
Bagaimanapun, pengambilan anak angkat dikendalikan di Mahkamah Tinggi (terletak di Kota Kinabalu). Saya tidak tahu bagaimana ia dilakukan di Lahad Datu.
Adakah kebenaran ibu kandung diperlukan dalam kes ambil anak angkat?
Apa-apa pun, persetujuan ibu perlu.
Tambahan pula, mereka (Jabatan Kebajikan) tidak boleh mengambil anak daripada ibu tanpa kebenarannya dan saya telah melihat dokumen mahkamah mengenai pengambilan anak angkat.
Jadi sekiranya Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil alih anak tersebut, proses pengambilan anak angkat adalah satu lagi peringkat yang perlu dilalui.
Untuk mencabar pengambilan anak angkat ini, Aimah memerlukan sokongan undang-undang. Bolehkah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan membantunya?
Orang tanpa kerakyatan tidak layak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang hanya dikhususkan untuk warganegara.
Kami difahamkan Suhakam juga sedang menyiasat kes bunuh diri membabitkan seorang ibu remaja Bajau Laut bersama-sama bayinya berusia lima bulan di Hospital Lahad Datu pada 2020. Apakah pemerhatian anda tentang kes itu?
Pihak hospital memaklumkan kepada kami bahawa pesakit berkemungkinan takut di hospital dan mengalami masalah komunikasi kerana tidak boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan baik.
Sumber kami memberitahu kami bahawa pesakit tanpa kerakyatan, termasuk ibu remaja ini, tertakluk kepada tuntutan pembayaran yang ketat. Adakah anda fikir hospital tidak munasabah dalam mengutip yuran ini daripada pesakit tanpa kerakyatan?
Sabah berada di kedudukan tertinggi dalam hal bayaran tidak dikutip daripada bukan warga Malaysia dan Hospital Lahad Datu mencatat tunggakan RM3 juta kerana bayaran yang tidak dikutip daripada orang yang tidak mempunyai dokumen.
Pihak hospital telah ditanya mengenai perkara ini dan ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa mereka perlu mengutip bayaran.
Walau bagaimanapun, semangat kemanusiaan tinggi di Hospital Lahad Datu.
Ia adalah satu-satunya hospital di Sabah yang telah memperkenalkan prosedur operasi standard untuk membolehkan pesakit yang dikenakan “caj warga asing” membayar secara ansuran.
Adakah terdapat ruang untuk budi bicara dalam kutipan yuran?
Pengarah hospital (Lahad Datu) adalah satu-satunya yang mempunyai budi bicara untuk mengetepikan bayaran, bukan pegawai perubatan.
Dia cuba menggunakan budi bicaranya sebaik mungkin, jadi untuk mengatakan bahawa tidak ada kelonggaran sama sekali, saya tidak akan bersetuju.
Pihak hospital cuba yang terbaik kerana apabila kita bercakap dengan mereka kita benar-benar dapat melihat bahawa mereka tertekan.
Persoalan keadilan agak sukar (untuk ditangani) dan ia merupakan keputusan yang sukar untuk menentukan had kemudahan untuk orang luar dan pendatang tanpa izin.
Dan terdapat rakyat Sabah yang miskin yang dikecualikan daripada pembayaran, menjadikan situasi tambah mencabar untuk mencari keseimbangan.
Jadi di mana batas kita? Sama ada mereka boleh menampung orang luar serta pendatang tanpa izin atau tidak adalah keputusan sukar.
Apakah jenis aduan yang Suhakam terima mengenai bayaran perubatan yang dikenakan kepada masyarakat tanpa kerakyatan dan tidak berdokumen?
Kami menerima sangat sedikit aduan mengenai caj pendaftaran RM100.
Pendatang tanpa izin kadang kala lebih suka pergi ke klinik swasta dengan kos yang sama iaitu RM60 atau RM70.
Isunya adalah di Zon Kuning untuk rawatan susulan dan pesakit luar (di mana pesakit perlu membayar yuran pendaftaran RM120 untuk setiap lawatan).
Jika pekeliling Kementerian Kesihatan mengenai bayaran tidak secara jelas menangani individu tanpa kerakyatan atau tidak berdokumen, mengapa mesti "bayaran warga asing" dikenakan ke atas mereka?
Anda sama ada warga Malaysia atau bukan dan bayaran itu untuk melindungi rakyat Malaysia.
Saya rasa mereka perlu mengutamakan penduduk tempatan dahulu dan jika kita kenakan bayaran yang sama akan timbul rasa terkilan kerana ia menimbulkan persoalan siapa yang membiayai mereka yang tidak mempunyai kerakyatan.
Bagaimanakah Kementerian Kesihatan boleh menguruskan perkara ini dengan lebih baik?
Menambah baik peruntukan untuk Sabah.
Pada masa ini, semua negeri menerima jumlah peruntukan yang sama dan Sabah adalah negeri yang besar yang sepatutnya diberikan bajet yang lebih besar.
Masyarakat tidak berdokumen dan tidak bernegara di Sabah lebih besar berbanding negeri lain. Bagaimanakah Sabah menangani isu orang tidak berdokumen ini?
Kehadiran individu tanpa dokumen tidak ditangani kerana kerajaan memandang mereka sebagai orang yang tidak sepatutnya berada di situ dan sikap ini meninggalkan jurang dalam sistem yang semakin menjadi masalah.
Suhakam tidak mengesahkan ketiadaan kerakyatan individu yang aduannya kami siasat.
(Bagi kes perkampungan Bajau Laut di Lahad Datu), kerajaan negeri telah mengenal pasti tempat penempatan semula masyarakat itu.
Mereka telah mewartakan lokasi pinggir laut dan ia menghadap laut kerana mereka sedar mereka adalah pelaut.
Bayi yang dilahirkan di Malaysia kepada ibu bapa tanpa kerakyatan tidak mendapat sijil kelahiran pun. Mengapa demikian dan perlukah mereka mendapat sijil kelahiran?
Negeri ini memang mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh ibu bapa tanpa dokumen dengan sijil kelahiran yang mengisytiharkan mereka sebagai bukan warganegara tetapi ini adalah isu yang sangat dipertikaikan.
Penduduk tempatan bimbang dengan pengeluaran sijil kelahiran, mereka yang tidak mempunyai dokumen akhirnya akan mendapat kerakyatan.
Masyarakat tidak berdokumen yang berbeza dilayan secara berbeza oleh kerajaan Sabah. Bolehkah anda jelaskan perbezaan antara mereka?
Negeri melihat mereka dari pedalaman Sabah yang tidak berdaftar dan mereka yang mempunyai dokumentasi IMM13 sebagai tidak bernegara manakala yang lain adalah pendatang tanpa izin.
(IMM13 ialah dokumen yang dikeluarkan kepada pelarian yang melarikan diri dari keganasan di Mindanao, Filipina ke Sabah pada 1970-an, dan keturunan mereka.)
Begitulah cara mereka boleh mula melihat masalah itu, jika tidak, mereka tidak tahu dari mana hendak bermula.
Jika mereka dari Pensiangan, Keningau, Tongod atau Kota Belud, mereka adalah orang asli.
Pemegang IMM13 boleh berkahwin dan boleh bekerja (secara sah), tetapi yang lain (yang tidak memegang IMM13) tidak boleh.
Negeri melihat pemegang pengenalan IMM13 sebagai pelarian dan mempunyai rancangan untuk mengasimilasikan mereka ke dalam populasi.
Apa pendapat anda tentang langkah ini?
Saya mengesyorkan agar ahli sejarah yang diberi kuasa mengkaji keturunan mereka untuk mengetahui sama ada pemegang IMM13 yang ingin diasimilasikan benar-benar berada di Sabah sebelum pembentukan Malaysia.
Ramai yang tidak dapat menguasai Bahasa Malaysia walaupun mereka mendakwa tinggal di Sabah selama bertahun-tahun malah turun-temurun.
Kebanyakan individu tanpa kerakyatan di Kota Kinabalu adalah berketurunan atau warganegara Filipina. Ramai yang mendakwa tidak bernegara sebenarnya menipu tentang status imigresen mereka.
Sesetengah warga tanpa kerakyatan mendapati sukar untuk kembali ke Filipina untuk memperbaharui dokumen imigresen mereka dan mengambil kesempatan daripada kebebasan yang diberikan melalui IMM13.
Yang lain tertarik dengan peluang berpendapatan tinggi di Malaysia, walaupun mereka sentiasa dalam pelarian. Terdapat juga kes di mana individu bersalin di Malaysia dan dengan sengaja menyembunyikan kewarganegaraan mereka.
Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen masing-masing mengendalikan siasatan sedemikian dan masing-masing telah menemui kes di mana individu tanpa kerakyatan menyembunyikan kewarganegaraan mereka.
Bahagian 1: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
Bahagian 2: Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut
Bahagian 3: Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi
Bahagian 4: Anak kecil dibaham buaya, kisah tragis golongan tanpa kerakyatan
Bahagian 5: Golongan tanpa kerakyatan bakal diusir dari tapak sampah