Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan lupa peranan media bebas, kata bekas MP PKR

Di tengah-tengah kebimbangan mengenai kebebasan media di Malaysia, bekas senator PKR Yusmadi Yusoff mengingatkan kerajaan tentang peranan media bebas semasa awal gerakan Reformasi, yang turut menyaksikan kelahiran Malaysiakini.

Bercakap pada forum sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi, Yusmadi memetik buku mengenai Malaysiakini yang dikarang oleh Profesor Universiti George Washington Janet Steele, yang dijual di lokasi acara di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

"Tadi saya baca buku tentang Malaysiakini. Bayangkan kalau Steven Gan dan Premesh Chandran tidak berjuang habis-habisan.

"Mereka (Malaysiakini) dilanyak teruk," kata Yusmadi merujuk kepada pengasas bersama Malaysiakini yang menubuhkan portal berita bebas pertama Malaysia pada November 1999, menjelang pilihan raya umum ke-10 yang diadakan pada kemuncak gerakan Reformasi.

Di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, Malaysiakini mengalami pelbagai tekanan termasuk serbuan dan siasatan polis pada 2003 yang menimbulkan bantahan antarabangsa.

Dua puluh tahun kemudian dan kini dengan Anwar sebagai perdana menteri, Yusmadi merujuk kepada percubaan baru-baru ini yang didakwa menindas kebebasan media dalam talian melalui sekatan akses yang dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Wajarkah kita bentuk satu suasana yang agak represif. Suasana yang tidak selesa untuk media menjalankan tugas dengan kebebasan yang sewajarnya? Kerana kita adalah pejuang kepada kebebasan media," kata peguam dan pengarang beberapa buku itu.

"Sebab itu hari ini saya secara terbuka, dalam saya berbangga dengan kejayaan Reformasi, saya juga ingin mengkritik. Kita juga perlu melihat peranan media.

"Media ini bukan untuk penguasa sahaja. Media juga bertujuan untuk membawa suara-suara yang diremehkan. Jadi saya rasa hari ini perkara itu perlu dilihat dengan lebih kritikal. Perkara itu (kebebasan media) mesti ada," kata bekas ahli parlimen Balik Pulau itu.

Wartawan veteran dan bekas ketua pengarang lidah rasmi DAP, The Rocket Wan Hamidi Hamid, yang turut tampil sebagai panel dalam forum itu, menceritakan bagaimana dia membuat liputan mengenai gerakan Reformasi sebagai wartawan The Star dan kemudiannya Singapore Straits Times.

Wan Hamidi Hamid

Wan Hamidi menyatakan bagaimana wartawan pada masa itu akan melaporkan gesaan Anwar untuk melakukan reformasi sebelum presiden PKR itu memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan lagi.

"Wartawan-wartawan veteran pasti tahu, sudah ada macam pergelutan kuasa kerana Anwar dibenarkan semacam 'menguasai' media.

"Tetapi tidak semua. Ada (media) yang pro-Mahathir ada yang pro-Anwar.

"Tetapi ada segelintir wartawan yang mungkin bodoh macam saya, kami tak sokong mana-mana pihak. Jadi kami tidak disukai oleh kedua-dua pihak.

"Sangat sukar (bertugas sebagai wartawan) apabila kita tak sokong mana-mana pihak," kata kata Wan Hamidi.

Dengan saluran media arus perdana yang beroperasi di bawah kawalan ketat kerajaan melalui parti politik yang memerintah, tahun-tahun awal Reformasi juga menyaksikan peningkatan permintaan untuk penerbitan oleh parti pembangkang ketika itu - termasuklah Harakah oleh PAS, The Rocket oleh DAP dan Suara Keadilan oleh PKR.

Sejak itu, penerbitan cetak telah berkembang untuk memasukkan versi dalam talian serta kehadiran di pelbagai platform media sosial.

Majlis malam tadi turut menyaksikan penganjur daripada NGO Perahu Hamzah dan pejabat exco Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, memberi penghormatan kepada Yuisriah Yusof - jurugambar kanan Suara Keadilan - yang bertugas sejak akhbar itu dijual tanpa permit sehinggalah hari ini.

Yuisriah, atau dikenali di kalangan pengamal media dan pemimpin Pakatan Harapan(PH) sebagai Kak Yuis berterima kasih kepada penganjur atas penghargaan itu.

“Saya kurang sihat (tak sihat) tetapi mereka (penganjur) berkeras mahu saya datang.

"Saya fikir saya hanya akan datang dan membuat Facebook secara langsung, dan mengambil gambar seperti mana-mana tugasan biasa lain," kata pengamal media berusia 61 tahun itu yang kekal di lapangan termasuk mengembara ke seluruh negeri untuk membuat liputan pilihan raya baru-baru ini.

Para hadirin dan ahli panel berdiri dan bersorak ketika penyerahan sijil penghargaan berbingkai daripada penulis Hasmi Hashim, bagi pihak Perahu Hamzah, serta Najwan.

Ahli panel lain termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan kartunis politik Zunar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS