mk-logo
Berita
Bertaubatlah, kata Khairuddin dakwa Radzi lakukan qazaf
Diterbitkan:  Sep 21, 2023 9:27 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali menasihatkan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin supaya bertaubat kerana didakwa telah menyebut beberapa perkataan jelik terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Khairuddin yang juga bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata tuduhan Radzi itu termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf.

Jelasnya, qazaf juga termasuk dalam kategori jenayah hudud serta antara dosa besar dalam Islam.

“Ia menjadi satu kesalahan jenayah syariah dalam Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.

“Bagaimana perkara itu dibiarkan berlaku dalam parlimen tanpa sebarang teguran sedangkan dalam parlimen terdapat ustaz-ustaz yang mendalami pengajian Islam dan memperjuangkan pula pelaksanaan hudud dalam negara," kata Mohd Khairuddin yang juga bekas ahli parlimen Kuala Nerus menerusi hantaran di akaun Facebook beliau.

Jenayah qazaf merujuk tuduhan zina atau liwat ke atas seseorang, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh.

Radzi mengeluarkan perkataan yang dikatakan tuduhan qazaf itu ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa menteri kewangan itu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS