Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
  • Dikemas kini dengan butiran masa laporan polis akan dibuat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata akan membuat laporan polis berhubung “serangan bermotif politik” susulan video tular dia membeli-belah barangan keperluan rumah.

Dalam video itu, dia dilpaparkan membeli barangan seperti biskut, mi segera, sardin, tepung dan minyak masak dengan bajet RM200.

Video itu sebenarnya dirakam pada Julai lalu apabila Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) terpaksa mengubah suai infografik kontroversinya berhubung kos sara hidup, berikutan kritikan netizen.

Fuziah memberitahu Malaysiakini bahawa dia percaya ada percubaan sengaja untuk menyebarkan maklumat salah mengenai isu berkenaan.

"Saya berpendapat ia bermotifkan politik. Cara serangan itu saya dapat lihat ia sangat bersepadu.

“Pasukan saya sedang membuat laporan polis dan mereka sedang mengenal pasti punca serangan itu,” katanya menerusi WhatsApp.

Menurut Fuziah, laporan polis itu akan dibuat oleh pegawai khasnya hari ini di ibu pejabat polis daerah Kuantan pada jam empat petang.

Fuziah kini berada di India.

Pada Julai lalu, maklumat grafik J-kom menyebut bahawa keluarga dengan empat ahli mampu bertahan dengan barangan runcit bernilai kurang daripada RM400 sebulan, manakala individu bujang pula membelanjakan lebih RM200 sebulan.

Fuziah membalas dengan merakam sebuah video pada bulan Julai, dan berkata:

“Saya membeli dua bungkus biskut, satu pek Milo 850 gram, dua pek mi segera, dua tin sardin, dua bungkus tepung, sebotol minyak masak, sebungkus nasi, ayam, susu pekat dan sayur-sayuran.

"Semua barang ini berharga RM136.30; siapa kata RM200 tidak mencukupi?" katanya ketika itu.

Hari ini, menurutnya, perkembangan sejak Julai termasuk kenaikan mendadak dalam kos beras.

“Dari segi bahan makanan, kalau kita lihat pada graf, biasalah ada turun naik.

“Tetapi tiada ‘lonjakan’ sebenarnya kecuali harga beras.

"Malah, untuk kos barangan seperti ayam menyaksikan trend menurun," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS