Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Elakkan sejarah Temasik dilanggar todak, Syed Saddiq ibarat Hang Nadim'
Diterbitkan:  Sep 21, 2023 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa mereka masih memerlukan Muda jika mahu melakukan reform terhadap beberapa institusi penting negara.

Katanya, percanggahan atau kontradiksi mereka adalah bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga.

Hassan Abdul Karim

“Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik.

“Justeru, janganlah diulang lagi peristiwa di Temasik Singapura, dalam sejarah purbanya pura dilanggar todak, di mana Hang Nadim dibunuh oleh para pembesar istana yang bodoh dengan mencampakkan budak yang cerdik itu ke laut dengan tangan serta kakinya dipasong oleh rantai besi,” katanya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, wakil rakyat lantang PKR itu berkata, kerajaan hari ini hanya memiliki 147 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Katanya, jika mahu melakukan pembaharuan terhadap beberapa institusi penting negara yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan menuntut kelulusan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Kelulusan majoriti dua pertiga memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 ahli parlimen.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Di sinilah pentingnya Muda, walaupun Muda hanya memiliki satu kerusi sahaja di kawasan parlimen Muar yang dimenangi oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Muda,” katanya.

Ketika ini, Syed Saddiq berpindah ke blok pembangkang tetapi tidak menyertai Perikataan Nasional (PN) - blok pembangkang terbesar - dengan 74 orang ahli parlimen.

Semua ini, gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menarik balik semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Hassan juga mengingatkan pemimpin PH dan kerajaan bahawa Muda bukannya parti pembangkang yang bersifat destruktif iaitu yang membangkang hanya kerana mahu membangkang.

Ini kata, dapat dibuktikan apabila pada Selasa, 19 September lalu semua ahli-ahli parlimen PN keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan Rakyat ketika Anwar menggulung ucapannya dalam perbahasan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12, tetapi Syed Saddiq tetap berada di dalam Dewan Rakyat.

“Dia merupakan satu-satunya ahli parlimen pembangkang yang kekal berada di dalam Dewan Rakyat dan menyertai perbahasan sehinggalah usul tersebut diluluskan.

“Jadi Anwar khususnya perlu memberi perhatian terhadap pendirian positif Muda yang ingin memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif ,” katanya.

Menurut Hassan ikrar Syed Saddiq sebelum ini bahawa dirinya akan terus menyokong agenda kerajaan apabila mengundi di Dewan Rakyat mengenai reformasi perlembagaan dan institusi mesti dijadikan sandaran.

Sokongan itu, katanya, akan berguna apabila kerajaan melihat untuk menguatkuasakan dua pembaharuan penting, iaitu pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS