Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Golongan tanpa kerakyatan bakal diusir dari tapak sampah

Rencana ini merupakan bahagian kelima dalam siri khas Hari Malaysia merungkai isu golongan tiada kerakyatan di Malaysia.


Sekumpulan orang bergegas menuju ke sebuah lori sampah yang masuk. Lori itu akan membuang muatannya di timbunan besar sampah yang mengeluarkan gas methane.

Ulat-ulat berengga mula memenuhi timbunan baru itu, bagi melengkapkan kitaran hidupnya di tapak yang mengumpul sisa dan sampah setiap isi rumah di Lahad Datu, Sabah.

Di tengah persekitaran inilah Al Nazri Azmi, dua tahun, dilahirkan. Ibu bapanya adalah orang tiada kerakyatan dan tinggal di situ.

Dengan hanya berbaju-T dan berkaki ayam, anak kecil ini berjalan di tengah kawasan penuh sampah plastik dan kaca, bermain-main dengan barangan yang ditemui di tapak pelupusan sampah Tanjung Bangkaruan di Lahad Datu.

Asap toksik dan bahan-bahan berbahaya lain yang ada di sekitar tempat permainan anak kecil itu bukanlah kebimbangan utama ibunya, Nalin Rajik, 26.

Ketika ditemui Malaysiakini, dia lebih risau kehilangan tempat berteduh mencari rezeki apabila tapak pelupusan sampah itu dipindahkan tak lama lagi.

Pada 6 September lalu, Pejabat Perhutanan Daerah Lahad Datu mengeluarkan notis agar mereka mengosongkan kawasan itu dalam masa sebulan, atau berdepan risiko hukuman denda sehingga RM500,000 atau pejara tidak lebih 20 tahun, atas kesalahan menceroboh.

Nalin Rajik, 26, tinggal di tempat pelupusan sampah. Seperti anaknya, dia juga lahir di sini.

"Pemandu lori yang buang sampah di sini beritahu kami tempat ini akan ditutup dan kami tidak akan dibenarkan berpindah ke tapak pelupusan sampah yang baru.

"Inilah rumah dan tempat kami mencari rezeki. Apabila tempat baru itu beroperasi nanti, tiada lagi punca pendapatan untuk kami dan anak," katanya.


BACA: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah


Sejak mereka mula mendengar berita itu sekitar pertengahan tahun lalu, Nalin berkata wakil Pejabat Perhutanan Daerah Lahad Datu telah pergi ke situ untuk memberi peringatan berkenaan pengusiran..

Namun tiada tarikh khusus ditetapkan dan di tengah ketidaktentuan itu, mereka meneruskan kegiatan mencari sisa dan sampah yang boleh dikitar semula.

"Ke mana orang tiada kerakyatan yang diusir nak pergi?" soalnya.

Seorang lelaki mencari-cari barang di tengah timbunan sampah.

Tapak pelupusan sampah itu terletak dalam Hutan Simpan Sepayaga dan Hutan Bakau Kuala Tingkayu dan di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah.

Pada 2012, Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) mendapat permit kerja untuk menggunakan kawasan seluas 20 hektar dalam hutan simpan untuk pelupusan sampah, kata Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Frederick Kugan kepada Malaysiakini.

Dia berkata komuniti tersebut tinggal di tapak pelupusan itu secara haram dan hanya ada 15 keluarga, bukannya 45 keluarga seperti didakwa mereka.

Dia juga mengesahkan tapak tersebut akan ditutup dan dipulihkan sebaik sahaja MDLD mengenal pasti tapak baru, namun tidak menyebut tentang nasib keluarga yang tinggal dan menyara kehidupan di situ.

Walaupun notis pengusiran sudah dikeluarkan, MDLD berkata pihaknya belum menemui tapak baru untuk tapak pelupusan sampah, yang sudah beroperasi di situ dengan kebenaran Jabatan Perhutanan selama 25 tahun.

Seorang jurucakap memberitahu Malaysiakini yang nasib masyarakat yang tinggal di situ bergantung kepada Jabatan Imigresen.

Kehidupan mengutip sampah

Menurut ketua komuniti, Nalin, suaminya dan dua anak mereka adalah antara kira-kira 200 komuniti Suluk tidak berkerakyatan dari pelbagai generasi yang tinggal di tapak pelupusan sampah dan menyara kehidupan dengan mengutip sampah.

Seperti anak lelakinya, Nalin juga lahir di tapak pelupusan sampah dan bersama-sama lima lagi adik beradik perempuannya, membesar dengan mengutip sampah. Sehnigga kini, dia masih berbuat demikian bersama-sama ibunya.

Kanak-kanak turut serta mencari sampah untuk dikitar semula

Semua keluarga melibatkan anak mereka dalam kegiatan ini namun dengan segala usaha itu, mereka hanya meraih tidak lebih RM10 sehari.

Mereka mengutip, mengasingkan dan membungkus sampah yang boleh dikitar semula untuk pembeli dari Lahad Datu dan Tawau. Namun dengan anggaran hasil sebanyak RM300 sebulan, mereka hanya boleh membeli beras secara kredit di kedai runcit di sekitar.

"Kami perlu bayar kepada kedai sebai saja dapat jual. Mereka sangat tegas dan kami bergantung kepada mereka kerana kami tak keluar dari tapak pelupusan sampah ini," kata Nalin.

Mereka akan mencari sampah boleh kitar semula dari lapan lori sampah yang masuk setiap hari.

Sampah kitar semula yang siap dibungkus.

Nalin memanggil kegiatan itu sebagai "melombong", dan bergilir-gilir dengan suaminya untuk menjaga dua anak mereka.

"Saya cari sampah waktu siang, dia waktu malam.

"Biasanya kami cari plastik. Ada dua jenis - botol air yang lebih nipis berharga lebih tinggi iaitu 40 sen sekilogram, dan plastik lebih tebal seperti botol minyak motor hanya 23 sen sekilogram," katanya. Di sebelahnya ada beberapa guni setinggi empat kaki yang dipenuhi botol yang sudah dipadatkan.

Sasaran serbuan, risiko kesihatan

Rasa selamat berteduh di tapak pelupusan sampah adalah palsu kerana penempatan ini sudah banyak kali menjadi sasaran serbuan bersama polis dan Jabatan Imigresen.

Selain itu, penduduk juga terdedah dengan pelbagai ancaman kesihatan dan keselamatan.

Siti Aishah Elimi, 32, berkata pada 2014, penguatkuasa yang menyerbu tapak itu membakar rumah mereka dan timbunan sampah sarap yang menyebabkan asap toksik tersebar selama beberapa hari selepas itu.

Bimbang ditangkap, Siti Aishah dan penduduk tanpa kerakyatan yang lain akan lari ke Sungai Bangkuran yang berdekatan setiap kali serbuan.

Mereka mengambil risiko yang mengancam nyawa dengan bersesak dalam sampan kayu kecil yang akan terbalik jika terlebih muatan.

Siti Aishah Elimi, 32, adalah ketua masyarakat tanpa kerakyatan yang tinggal di tapak pelupusan sampah Lahad Datu.

"Orang yang tiada kerakyatan macam kami hanya boleh lari kerana jika kami ditangkap, mereka akan tempatkan kami di tapak tahanan selama berbulan sebelum hantar kami ke Filipina.

"Kami tiada keluarga di sana. Biasanya orang yang dihantar akan kembali semula menerusi saluran haram dengan bayaran RM700.

"Ada yang lemas dan ramai yang ditangkap dan dihantar ke tapak tahanan," katanya lagi.

Keluarga-keluarga ini hidup dalam ketakutan terhadap pihak berkuasa. Setiap hari, mereka bergadai nyawa dan kesihatan dengan mengutip sampah kitar semula dan jarang keluar dari tapak ini yang terletak di pinggir hutan simpan dan dekat dengan muara Sungai Bangkuruan.

Masuk lebih dalam ke hutan, ada sebuah kilang papan dan balak yang sudah tidak beroperasi yang dikelilingi kampung dengan 100 penduduk. Komuniti tanpa kerakyatan memanggil kampung itu sebagai Kampung Sulok dan Kampung Pondok Ketam.

Mereka kekal di situ kerana tanpa dokumen pengenalan diri, mereka tidak boleh diambil bekerja di tempat lain. Mereka kemudian digelar "Orang Sampah" yang tinggal di "Bukit Sampah".

Kalangan yang tinggal di tapak pelupusan sampah mengambil ubat yang dibuang untuk kegunaan mereka.

Mereka jarang keluar dari tapak pelupusan sampah, malah mereka menyambut Hari Raya di situ.

Mereka menyambut Ramadan dengan penuh kesukaran terutama bagi kanak-kanak kerana tiada makanan untuk bersahur dan berbuka.

"Ada kala kami jumpa makanan di timbunan sampah dan itu sedikit membantu.

"Kami juga pungut ubat-ubatan yang dibuang dan juga barang-barang lain yang berguna untuk kehidupan seharian kami," kata Siti Aishah.

Beberapa minggu menjelang apa-apa perayaan menjadi saat yang ditunggu-tunggu apabila banyak pakaian lama serta barang yang masih boleh digunakan dibuang. Ada kala barang-barang ini dibungkus dengan baik, seolah-olah hadiah buat mereka yang tinggal di situ.

Malah, mereka juga kerap menemukan sampul berisi wang RM1 atau RM5.

"Ketika Hari Raya, kami cuba melawat saudara atau kawan yang tinggal di rumah yang cantik di kampung terdekat. Kami dapat makan sedap," kata Nalin.

Seramai 45 keluarga tanpa kerakyatan yang tinggal dan mengutip sampah di tapak pelupusan sampah Lahad Datu.

Ancaman kesihatan

Kanak-kanak akan berlari penuh teruja setiap kali lori sampah masuk. Belum sempat lori mengeluarkan timbunan sampah, mereka sudah mula mencari sampah menggunakan serampang. Pada masa sama, mereka tahu kesihatan mereka terdedah kepada risiko.

Kebanyakan penduduk, termasuk kanak-kanak, berkaki ayam sehinggalah sebuah NGO memberi sumbangan baru-baru ini.

Botol kaca pecah hanya satu daripada banyak bahaya yang dihadapi mereka.

Air yang paling selamat untuk diminum adalah daripada perigi berusia 50 tahun di kilang papan kira-kira 200 meter dari timbunan sampah. Tanpa sistem saliran, air hujan membawa bahan larut lesap ke sungai dan bawah tanah.

Rumah mereka dibina daripada papan lapis lama dan tanpa pintu. Ada yang bertiangkan kayu, ada juga menggunakan tayar lama - apa saja yang dapat meninggikan rumah bagi mengelak daripada sampah yang hanyut apabila hujan.

Rumah di tapak pelupusan sampah Lahad Datu

Seperti rumah-rumah mereka, soal sanitasi atau urusan membasuh dan membersih juga ala kadar.

Timbunan sampah akan terbakar ketika musim kemarau dan cuaca terlampau panas, kemungkinan akibat bateri litium-ion atau bahan mudah terbakar lain yang memang lazim dikaitkan dengan kebakaran di tapak pelupusan sampah.

"Apabila asap masuk ke rumah, mata dan hidung jadi pedih dan sukar untuk bernafas," kata Siti Aishah.

Rawatan kesihatan lazimnya bukanlah pilihan buat penduduk di situ. Selain kos mahal bagi perjalanan 45 minit untuk ke Hospital Lahad Datu, orang tiada kerakyatan perlu membuat bayaran pendaftaran yang tinggi.

Ramai yang menunggu keadan menjadi kritikal agar dimasukkan ke Zon Merah di unit kecemasan, di mana mereka boleh menangguhkan bayaran pendaftaran sebanyak RM100.

Sebelum bantuan sebuah NGO, kolam kotor inilah yang menjadi sumber air

Tindakan menangguhkan rawatan ini mengancam nyawa mereka, seperti Maimunnah, 7, yang hampir maut akibat penularan sepsis dalam badan yang bermula dengan jangkitan di leher.

Dia didapati menghidap Retrophyaryngeal abscesses dan dibawa ke Hospital Tawau untuk pembedahan. Di sana, bayaran untuk rawatannya ditangguhkan.

Bagaimanapun sebelum dihantar ke situ, Hospital Lahad Datu bertegas agar pihak keluarga membayar RM200 untuk ujian RTK-Ag Covid-19. Selepas ada pihak yang bermurah hati untuk membayarnya, barulah dia dikejarkan ke Hospital Tawau.

Ingin kehidupan lebih baik

Selain orang yang tinggal di tapak pelupusan sampah Lahad Datu, tiada sesiapa pun - termasuk pihak berkuasa negeri - yang tahu Al Nazri lahir di situ pada Oktober 2020.

"Saya tak mampu ke bandar untuk daftarkan kelahirannya. Saya juga terlalu takut untuk keluar dari tempat ini," kata Nalin.

Anak pasangan yang tiada kerakyatan, terutama yang lahir di rumah, tidak didaftarkan terutama kerana prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Selain itu, ketiadaan sijil pernikahan yang sah digunakan juga menyukarkan lagi pendaftaran.

Kanak-kanak yang tinggal di tapak pelupusan sampah Lahad Datu

Sejak beberapa bulan lalu, golongan tanpa kerakyatan turut dihalang untuk berbuat demikian oleh Jabatan Pendaftaran Negara Lahad Datu, yang menyatakan pihaknya hanya boleh mengeluarkan sijil kelahiran jika kedua-dua ibu bapa berstatus warganegara.

Seorang bidang tempatan Fatimah Rafily Darao memberitahu Malaysiakini, sebelum Ogos 2022 bayi pasangan tanpa kerakyatan menerima sijil kelahiran yang menyatakan mereka sebagai "bukan warganegara".

Siti Aishah berkata dia lebih selesa tinggal di tapak pelupusan sampah dan mengutip sampah di situ, berbanding berdepan risiko ditangkap. Namun dia tetap mengharapkan keadaan yang lebih baik untuk anak-anaknya.

Wanita lantang ini secara tidak langsung menjadi ketua di tapak pelupusan sampah apabila dia diberi peranan penasihat oleh salah satu syarikat kilang kitar semula.

"Kami mahu dokumentasi untuk anak-anak kami supaya mereka boleh ke sekolah.

"Kami juga mahu orang dewasa diberi dokumen agar kami dapat mencari kerja lebih baik untuk menyara keluarga tanpa perlu mengemis dan mengutip sampah untuk dijual," katanya.

Lebih utama, dia mahu kehidupan yang bermaruah.


Bahagian 1: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah

Bahagian 2: Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut

Bahagian 3: Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi

Bahagian 4: Anak kecil dibaham buaya, kisah tragis golongan tanpa kerakyatan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS