Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas ini bila gugur kes rasuah, AG akan dijadikan 'perisai' - Syed Saddiq
Diterbitkan:  Sep 20, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menetapkan "duluan (precedent) yang jelas" apabila kes rasuah membabitkan timbalannya digugurkan di mahkamah.

"Selepas ini, apabila kes rasuah digugurkan satu persatu, peguam negara (AG) - lantikan PM - akan dijadikan perisai utama," Kata Syed Saddiq membayangkan bahawa peguam negara (AG) akan dijadikan sebagai 'kambing hitam'.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian dalam satu hantaran di Twitter, malam tadi.

Dia merujuk tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan itu menyebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) presiden Umno itu daripada tuduhan berkenaan pada 3 Sept lalu.

Bagaimanapun, di bawah DNAA Ahmad Zahid boleh didakwa semula jika pendakwa raya mahu berbuat demikian pada masa akan datang.

Anwar ketika menjelaskan isu itu di parlimen semalam berkata apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding mahkamah membabitkan Ahmad Zahid, dia bertanya kepada Idrus Harun selaku peguam negara ketika itu.

"Saya bukan berbincang mengenai keputusannya (menghentikan prosiding), saya (cuma) tanya alasan, minta penjelasan (dan) can you defend it (adakah kamu boleh mempertahankan keputusan tersebut)?" kata Anwar.

Syed Saddiq bagaimanapun menyatakan kebimbangan kerajaan pada akan datang akan menjadikan keputusan DNAA membabitkan Zahid sebagai duluan.

“Kalau dia (Anwar) boleh, bakal perdana menteri pun boleh. Masa akan menentukan," katanya.

Pada 12 Sept lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengumumkan dua pasukan petugas khas akan dibentuk untuk mempercepatkan pengasingan peranan dan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Azalina, dalam satu kenyataan, berkata pembentukan pasukan petugas itu diputuskan pada mesyuarat pertama untuk meneliti perkara itu.

Katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan itu dan menjelaskan satu pasukan petugas akan diamanahkan untuk mengkaji perbandingan manakala satu lagi pasukan akan meneliti aspek teknikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS