Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fama, PPNJ bekal 80 tan beras tempatan ke Johor
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) membekalkan sebanyak 80 tan beras tempatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata langkah intervensi beras itu disampaikan secara berperingkat bermula semalam hingga akhir minggu ini.

Beliau berkata bekalan makanan ruji itu diedarkan melalui empat pusat pengumpulan iaitu di Johor Bahru, Simpang Renggam, Batu Pahat dan Tangkak.

"Memang kita hadapi sedikit cabaran mengenai bekalan beras...(bagaimanapun), kerajaan negeri sedang menyusun program untuk membantu rakyat, iaitu kita akan lihat apa yang dijalankan (kerajaan) pusat kemudian disambung kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita negeri 2023 di PPNJ di Johor Bahru hari ini.

Zahari berkata kerajaan negeri turut merancang pelbagai inisiatif lain bagi memastikan masalah bekalan beras tempatan itu tidak berpanjangan.

"Kita melihat keberkesanan langkah intervensi yang dilakukan kerajaan pusat, dan sekiranya ia terbukti berkesan, kerajaan negeri akan turut bantu," katanya.

Sementara itu, Zahari memaklumkan terdapat 900 pesawah melibatkan 10 lokasi merangkumi sawah padi seluas 2,254 hektar, di negeri ini.

"Daerah berkenaan termasuk Tangkak dengan keluasan 842.97 hektar; Muar (364.22 hektar); Mersing (549.38 hektar); Batu Pahat (141.70 hektar) dan Kluang (356.12 hektar).

"Bagi musim menuai antara 2021 dan 2022 pula, Johor mengeluarkan 6,225 tan metrik padi, peningkatan sebanyak 30.1 peratus berbanding musim menuai tahun sebelumnya," katanya.

Menurut beliau, meskipun sawah padi di Johor dikategorikan sebagai sawah padi di luar jelapang, kerajaan negeri tetap fokus menjalankan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti pengeluarannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS