Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
10,718 kes kebakaran di Perak sejak Jan hingga Sept - Bomba
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Sebanyak 10,718 kes kebakaran dan penyelamatan direkodkan di Perak sejak Januari hingga September tahun ini berbanding 9,940 kes sepanjang 2022.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata antara penyumbang utama kepada peningkatan kes ialah kebakaran yang berlaku di kediaman milik persendirian dan premis perniagaan.

“Kita (JBPM) ingin tegaskan di sini supaya orang ramai mempunyai kesedaran dan ilmu asas khususnya berkaitan penyelamatan diri sekiranya berlaku kebakaran di kediaman masing-masing.

“Sebagai contoh, setiap kediaman atau premis perlu mempunyai alat pemadam kebakaran. Perkara ini penting kerana sekiranya berlaku kebakaran, kita dapat mengawalnya pada peringkat permulaan bagi mengelak merebak ke tempat lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Gambar fail, banjir di Perak.

Terdahulu, dalam majlis tersebut Sayani turut meraikan 19 pegawai bomba yang dinaikkan pangkat daripada Gred KB 19 ke Gred KB 22 serta enam pegawai ke Gred KB 24 daripada Gred 22.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 265 kawasan di seluruh negeri dikenal pasti sebagai lokasi “panas” yang berkemungkinan besar akan dilanda banjir pada penghujung tahun ini.

Menurut Sayani JBPM telah bersiap sedia bagi menghadapi bencana berkenaan khususnya dalam menggerakkan segala bentuk bantuan yang terarah kepada pengoperasian dan logistik.

“Sebagai contoh, bahagian kejuruteraan dan bahagian operasi diminta agar sentiasa menguji dan meneliti tahap kepenggunaan peralatan yang dibekalkan seperti bot, kenderaan utiliti dan segala peralatan keselamatan yang lain,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS