mk-logo
Berita
LFL: Henti guna 'alat penindasan' seksyen 233 akta komunikasi
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

NGO Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan mengumumkan penggantungan serta-merta penggunaan seksyen 233 dan peruntukan kejam lain dalam Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Kumpulan itu juga menuntut moratorium terhadap penguatkuasaan atau pendakwaan sementara menunggu pemansuhan atau pindaan undang-undang.

Menyifatkan ia sebagai "alat penindasan", LFL tidak berpuas hati dengan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (gambar, bawah) bahawa kerajaan akan kaji semula AKMM selewat-lewatnya pada awal tahun depan.

“Ini sangat tidak pasti. Komitmen yang tepat mesti diberikan dan butiran pindaan perlu dibincangkan dengan pihak berkepentingan,” kata penyelaras kempen LFL Nabila Khairuddin pada satu kenyataan.

Katanya, penggantungan dan moratorium penguatkuasaan undang-undang itu akan menghalang penyalahgunaan AKMM selanjutnya sementara Akta itu sedang menunggu semakan di parlimen.

Nabila berkata ruang lingkup Seksyen 233 AKMM yang luas dan skop kesalahan yang ditetapkannya menyebabkan ia kabur dan terbuka kepada tafsiran secara sewenang-wenangnya.

Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian

“Seksyen 233 AKMM, yang mengawal 'penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian', juga bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, kerana ia luas dalam skopnya, kabur dan samar-samar, dengan istilah subjektif sepenuhnya seperti 'menyakitkan hati' dan 'mengganggu'.

“Disebabkan istilah subjektifnya, yang membawa kepada kekaburan terhadap kesalahan atau bukan kesalahan di bawah peruntukan itu, ia telah digunakan untuk menyekat ucapan dan ekspresi, untuk menutup pandangan yang bertentangan, membatalkan perbezaan pendapat, menafikan ruang demokrasi, dan untuk menindas rakyat Malaysia.

"Ini pencerobohan serius terhadap kebebasan bersuara dan berekpresi yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan kita.

“Tiada satu pun unsur larangan yang ditakrifkan dengan lebih lanjut dalam akta ini (merujuk istilah) - 'lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain'

"Ini mewujudkan kategori kesalahan yang berkemungkinan tidak berkesudahan, yang mengikut budi bicara penguatkuasa undang-undang untuk ditakrifkan mengikut keperluan mereka,” tambahnya.

Oleh itu, Nabila berkata memandangkan apa yang menjadi kesalahan masih tidak jelas, sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran.

“Seperti undang-undang lain yang menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, kerajaan mengamalkan double standard dan pendakwaan terpilih dalam menggunakan AKMM.

“AKMM telah digunakan berulang kali untuk menyiasat dan menangkap mereka yang mengkritik kerajaan atau raja-raja di media sosial, dengan kebangkitan semula penggunaan undang-undang itu sejak setahun lalu,” tambahnya.

Kata Nabila, akta itu malah menghalang membangkitkan pencabulan hak asasi manusia, pelanggaran undang-undang dan juga kemungkinan salah laku kerajaan.

“Sesuatu kritikan terhadap kenyataan mana-mana pegawai kerajaan atau sesiapa yang melakukan kesalahan juga boleh didakwa sebagai palsu, mengancam, menjengkelkan atau juga gangguan,” katanya lagi.

Justeru,dia berkata kerajaan mesti mengkaji semula AKMM dengan segera bagi memastikan ia mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa dan perlembagaan.

“Dan khususnya untuk Seksyen 233 AKMM perlu disemak secara menyeluruh untuk mentakrifkan dengan lebih jelas dan tepat apa yang menjadi ‘penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang tidak wajar’ di bawah undang-undang itu.

“Malah, penggunaan AKMM telah dibantah dan dikritik hebat oleh gabungan PH sebelum membentuk kerajaan.

"Pemansuhan peruntukan AKMM kerana sifatnya yang menindas merupakan salah satu janji reformasi yang dibuat oleh kerajaan PH,” kata Nabila.

Kelmarin, Teo berkata bahawa agensi di bawah kementeriannya sedang mengkaji semula AKMM melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

"Jadi KKD rasa sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula dan pastikan bahawa peruntukan yang kita ada sekarang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa jenis jenayah khasnya yang berlaku di alam siber.

"Kalau tidak sempat bentang tahun ini, kita akan bentang di parlimen awal tahun hadapan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS