Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin dilantik ketua pembangkang S'gor, Lau jadi speaker
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 1:51 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang,  Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pengumuman mengenai lantikan itu dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,  Lau Weng San.

"Diharapkan ketua pembangkang telah dilantik dan dipersetujui ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, tahniah diucapkan," katanya.

Lau yang juga bekas Adun Banting juga mengesahkan bahawa dia menerima surat pencalonan bekas menteri besar itu daripada Perikatan Nasional (PN) pada 15 September lalu.



Jawatan ketua pembangkang sebelum ini dipegang oleh Adun Sungai Air Tawar dari BN, Rizam Ismail.

Bagaimanapun BN dan Pakatan Harapan (PH) bergabung pada pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu yang menyaksikan kemenangan mereka dengan menguasai 34 daripada 56 DUN.

Lau hari ini dipilih sebagai speaker selepas mendapat 34 undi. Dia mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor Mohd Fuad Mohd Salleh yang menerima 22 undi.

Setiausaha DUN Selangor J Gayathri Prasena memaklumkan undi sulit pada mesyuarat pertama penggal pertama DUN ke-15 di Dewan Negeri Selangor dijalankan, berikutan terdapat dua nama calon speaker yang dikemukakan.

Sementara itu, Mohd Kamri Kamaruddin dipilih sebagai timbalan speaker DUN selepas mendapat 34 undi, mengalahkan Adun Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah menerima 22 undi.

Lau kemudian mengisytiharkan Mohd Kamri Kamaruddin yang juga Adun Bukit Antarabangsa dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor selepas undi sulit dilakukan berikutan dua calon untuk jawatan itu dikemukakan. 

Pada persidangan itu juga, 56 Adun mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah, didahului Menteri Besar Amirudin Shari dan diikuti 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) serta Adun lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS