Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM hasrat wujudkan program pendidikan khas OKU di semua sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat mewujudkan Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) di semua sekolah bagi memastikan tiada kanak-kanak kurang upaya tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya.

Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata pihaknya sedang berusaha untuk memperbanyakkan lagi PPKI di semua sekolah, namun cabarannya adalah kekurangan golongan pendidik.

"Untuk mengadakan PPKI di sesebuah sekolah, selain golongan pendidik, kita juga harus mempunyai kemudahan yang bersesuaian seperti tandas OKU (orang kurang upaya), ram OKU dan kemudahan yang lain untuk murid-murid keperluan khas ini," katanya kepada Bernama di George Town hari ini.

Lim berkata data KPM menunjukkan sebanyak 76 sekolah di negeri ini melaksanakan PPKI dan program pendidikan inklusif (PPI).

Beliau berkata akses kepada pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tidak mengira kaum, agama dan keupayaan.

"Saya berharap kita dapat adakan lebih banyak kelas sebegitu (PPKI) mengikut daerah kerana semua tempat ada kanak-kanak khas dan mereka perlukan perhatian yang lebih," katanya.

Beliau berkata tumpuan KPM adalah kepada penambahbaikan ketercapaian dan mobiliti terutama menyediakan sekurang-kurangnya empat kemudahan asas yang merangkumi susur landai, susur tangan, parkir dan tandas mesra OKU, selain menaik taraf kelas pendidikan khas dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas.

"KPM turut meningkatkan bilangan projek pembangunan yang dimohon melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE) bagi membina bangunan tambahan yang merangkumi bilik darjah dan kemudahan lain untuk Program Pendidikan Khas Integrasi," katanya.

Tambahnya, KPM juga telah melaksanakan pemantapan sumber manusia dengan memfokuskan kepada peningkatan profesionalisme secara berterusan bagi guru dan pembantu pengurusan murid.

Terdahulu, Lim yang juga setiausaha DAP Pulau Pinang, bersama Adun Sungai Puyu Phee Syn Tze, AdunPengkalan Kota Wong Yue Harng, Adun Pulau Tikus Woo Sze Zeng dan Adun Seri Delima Tan Hooi Peng mengedarkan kuih bulan di Pejabat Bernama Pulau Pinang sempena perayaan kuih bulan pada 29 Sept ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS