Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Harga beras tempatan tak naik, yang YB makan tu beras import, mahal'

PARLIMEN l Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berang dengan dakwaan Rosol Wahid (PN- Hulu Terengganu) kononnya berlaku peningkatan secara mendadak harga beras tempatan.

Menjawab dakwaan itu, Mohamad mengkritik Rosol yang bangkit mencelah dan membuat tuduhan tanpa mendengar penjelasan yang dibuatnya sejak dari awal sesi penggulungan.

"(Harga) beras tempatan ni kekal... tak masuk masa kami bercakap (pasal beras). Masuk mencelah tak kena.

"RM26 ringgit, harga beras tempatan tak naik, yang (naik) itu harga (beras) import. Beli yang import tu kenapa? Itu yang YB makan beras import, cakap beras mahal.

"Sebab itu kita cakap (tentang) intervensi, Fama dan perlandangan...(Ini) tak dengar, datang mencelah begini. Lepas tu balik cerita kat orang kampung," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika sesi penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Rosol Wahid yang baru berada di dalam dewan ketika Mohamad berucap membangkitkan isu kenaikan harga beras tempatan yang dibangkitkan oleh pengguna di luar sana.

Mohamad bagaimanapun menafikan kenaikan harga barangan asas itu dan mengkritik Rosol kerana gagal mendengar penjelasannya dari awal.

Menjawab kritikan Mohamad, Rosol mengingatkan Presiden Amanah itu  supaya tidak marah dengan apa yang dibangkitkannya.

"Janganlah marah, saya tanya saja," kata Rosol.

Sementara itu, Mohamad ketika menggulung perbahasannya, juga memaklumkan bahawa Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok penimbal dan 650,000 tan bagi stok dagangan.

Katanya, bekalan ini mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Susulan itu, menteri tersebut, berkata masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok penimbal beras.

Dia berkata, stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS