Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada tempat umum calon, PN dakwa ada tekanan dari ‘atas’

PAS Pahang mendakwa terdapat tekanan dari “atas” apabila gagal mendapat kebenaran menggunakan padang awam untuk pengumuman calon mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Rabu ini.

"Kita di PN Pahang memang menghadapi masalah dalam permohonan menggunakan padang atau dataran dalam DUN Pelangai. 

"Contohnya kita minta nak guna padang awam, padang bola dan ada padang yang kita dah bayar deposit dan deposit itu dipulangkan atas tekanan oleh pimpinan atasan. 

"Pemimpin setempat pun terpaksa menolak permohonan kita atas sebab tekanan tersebut," katanya Ketua Penerangan PAS Pahang Mohd Tarmizi Yahaya.

Dia juga menyatakan tindakan itu sangat melanggar perlembagaan dan tidak menghormati demokrasi. 

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata, Tarmizi berkata Tarikh pengumuman calon Pelangai sudah ditetapkan pada 20 September jam sembilan malam. 

"Cuma lokasinya belum dapat dimuktamadkan, insya-Allah petang esok kita boleh maklumkan lokasi majlis itu," katanya. 

Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu yang menganggap “halangan” berkenaan adalah perkara biasa. 

"Kita sedang usahakan tempat atau lokasi persendirian yang boleh mengizinkan kita menggunakan tanah atau tapak itu, buat masa ini kita ada beberapa pilihan dan kita akan maklumkan esok mengenai lokasinya. 

"Dua lokasi yang kita mohon dalam kawasan Felda ditolak atas alasan... biasalah, padang sedang dibaik pulih, itu antara alasan yang orang kata macam retorik biasa BN-Umno. 

"Kawasan tempat awam tak boleh guna, ada dua padang kampung - satu kata memang tak boleh guna untuk program parti, satu lagi boleh pada awalnya, dah bayar deposit tapi kemudian dia bagi balik deposit, katanya atas tekanan pimpinan atasan," katanya. 

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar pula berkata keputusan berkaitan lokasi pengumuman calon akan dimaklumkan esok. 

"Insya-Allah esok la saya maklum, ada alternatif, maklum awal nanti kena kacau pula," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp. 

Pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Pahang akan diadakan pada 7 Oktober ini dan penamaan calon pada 23 September.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandang Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

PRK itu adalah yang keempat selepas pilihan raya umum ke-15 pada November tahun lalu.

Kawasan dengan 16,456 orang pemilih itu mempunyai 64 peratus pengundi Melayu, 27 peratus Cina, tujuh peratus India dan satu peratus lain-lain.

Dalam pilihan raya 2022, Johari daripada BN menang dengan majoriti lebih 4,000 undi mengewaskan calon PN, PH dan Pejuang yang hilang wang pertaruhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS