Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menyerang PN kerana tidak memisahkan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya ketika gabungan itu mentadbir negara.
Ia selepas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut) mendakwa kerajaan hari ini mengamalkan pendakwaan terpilih yang menyasarkan pembangkang, termasuk ketika Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan jenayah terhadap Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh).
Azalina berkata kuasa untuk mendakwa dan menarik balik pendakwaan terhadap tertuduh di mahkamah adalah di bawah kuasa penuh peguam negara dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, dia berkata tidak adil untuk membangkitkan isu pendakwaan terpilih apabila pemimpin PN diheret ke mahkamah, tapi pada masa sama bersorak apabila seteru politik mereka yang didakwa.
"Ini sebabnya kerajaan Madani hari ini komited untuk pisahkan kuasa peguam negara dengan pendakwaan.
"Saya nak tanya, kenapa masa anda (berkuasa), tak nak pisahkan kuasa peguam negara (dengan pendakwa raya)?
"Bila pihak YB kena, (kata) pendakwaan terpilih tetapi bila sebelah sini (kerajaan) kena, (kata) padan muka. Apa hal?
"Sekurang-kurangnya kami cakap akan buat (pemisahan kuasa). Sebelah sana (pembangkang) bukan saja tak buat, bincang pun tidak," katanya lagi.
Azalina berkata demikian ketika sesi perbahasan selepas Hamzah dan Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran) membangkitkan apa yang didakwa sebagai pendakwaan terpilih oleh kerajaan, ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah mendakwa kerajaan menindas Muhyiddin dengan mengheretnya ke mahkamah, dan membangkitkan mahkamah kemudian melepas dan membebaskan pengerusi PN itu daripada empat pertuduhan rasuah.
Bagaimanapun Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).