Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan Akta Komunikasi dan Digital mungkin dibentang awal tahun depan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijangka membentangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia di Parlimen, awal tahun hadapan.

Timbalan Menteri berkaitan Teo Nie Ching berkata KKD menerusi agensi-agensi di bawahnya sedang mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia kerana akta tersebut digubal pada 1998.

Justeru, dia berkata kementerian akan melaksanakan tadbir urus dengan pihak berkepentingan berhubung kajian dan pindaan semula akta berkenaan.

"Jadi KKD rasa sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula dan pastikan bahawa peruntukan yang kita ada sekarang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa jenis jenayah khasnya yang berlaku di alam siber.

"Kalau tidak sempat bentang tahun ini, kita akan bentang di Parlimen awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas tayangan "MALBATT: Misi Bakara" di TGV Aeon Mall Kulai, Johor, hari ini.

Teo berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengenai undang-undang Malaysia yang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan menerusi perisian dan peranti komputer.

Dia berkata terdapat bukti bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) disalah guna bagi tujuan penipuan, apabila suara atau wajah seseorang boleh ditiru menggunakan AI untuk memperdaya ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

Katanya pindaan yang akan dibuat termasuk meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan.

Terdahulu, Teo yang juga ahli Parlimen Kulai meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 250 orang penduduk Kulai sebelum menonton filem tersebut.

Sebelum ini, Razarudin dipetik sebagai berkata kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi AI.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS