Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Polis berkata pihaknya bertindak sebagai pemudah cara bagi perhimpunan 'Selamatkan Malaysia" anjuran PN hari ini, yang menyaksikan kira-kira 1,000 peserta berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru ke sekitar pusat beli belah Sogo.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, semua tindakan berkaitan diambil berdasarkan undang-undang dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan ketika perhimpunan berlangsung.

Perhimpunan itu berlangsung kira-kira sejam dan hadirin bersurai dengan aman pada kira-kira jam 3.30 petang.

"Seramai 16 pemimpin memberikan ucapan...Polis telah mengambil segala tindakan termasuk memudahcarakan perhimpunan," kata Allaudeen.

Allaudeen Abdul Majid

Antara pemimpin dan aktivis PN yang berucap adalah Dr Afif Bahardin, Badrul Hisham Shaharin dan Tun Faisal Ismail Aziz dari Bersatu dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Nazir Helmi.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini berunding dengan polis bagi penganjuran perhimpunan, tidak dilihat dalam acara hari ini.

Sementara itu, Allaudeen mengesahkan penganjur gagal mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PPA), termasuk memberi notis lima hari sebelum perhimpunan.

"Ia bukan sekadar menghantar surat (kepada polis), dan itu dianggap memadai," katanya.

Dia menegaskan syarat di bawah PPA akan membantu polis mengendalikan mana-mana perhimpunan, bukan untuk penganjur sahaja namun semua pihak terlibat, termasuk pihak di sekitar perhimpunan.

"Selepas ini kita akan melihat apa tindakan susulan yang akan diambil," katanya ketika ditanya jika polis akan memanggil penganjur untuk siasatan.

"Kita akan panggil sesiapa sahaja untuk membantu siasatan," katanya, sambil memaklumkan sebanyak 22 laporan dibuat terhadap perhimpunan hari ini.

Sementara itu, Allaudeen berkata pihaknya turut menerima laporan yang dibuat Tun Faisal berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan ke atasnya - yang menjadi tema utama perhimpunan hari ini.

Walaupun penganjur menyatakan perhimpunan ini untuk menyambut Hari Malaysia, tumpuan utamanya adalah berhubung keputusan tersebut.

Dua lagi tuntutan utama yang disuarakan adalah agar tiada campur tangan eksekutif dalam Pejabat Peguam Negara dan SPRM serta pelaksanaan prinsip kedaulatan undang-undang terhadap semua rakyat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS