Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ke puncak kerjaya, juruteknik wanita mendaki pencakar langit

MALAYSIANSKINI | Normalia Sidek mengejutkan rakyat Malaysia apabila dia dirakam kamera dron ketika sedang bekerja di salah satu Menara Berkembar Petronas KLCC pada hujung tahun lalu.

"Memang impian saya untuk bekerja di puncak Menara Berkembar," katanya ceria.

Gadis bertudung yang aktif bersukan itu telah mencetuskan minat baru golongan wanita dalam bidang juruteknik capaian tali (memanjat bangunan dan menara) dan juruteknik pemeriksa Non-Destructive Testing (NDT) yang secara tradisionalnya merupakan pekerjaan yang dikuasai lelaki.

Juruteknik capaian tali mungkin tidak termasuk dalam senarai sepuluh pekerjaan paling ekstrem di dunia, tetapi dalam keadaan tertentu apabila ia melibatkan kerja-kerja mencabar berkaitan ketinggian atau dalam persekitaran yang mencabar seperti di tebing tinggi, menara, jambatan atau limbungan kapal.

Normalia berkata dia tidak gementar semasa menukar mentol dari atas tangga di puncak menara bangunan.

Ketika itu, dia bertugas selama sebulan memasang lampu baru di sekeliling lilitan luar puncak menara ikonik Malaysia KLCC.

Ibu berusia 31 tahun kepada seorang cahaya mata itu menjadi sebahagian daripada pasukan yang bertanggungjawab terhadap kilauan cahaya yang menerangi menara pada setiap malam dengan warna lampu yang berbeza.

Inspirasi pada wanita muda

“Melihat saya dalam gambar di media sosial, bekerja di atas salah satu Menara Petronas atau digantung dari bangunan pencakar langit, memberi inspirasi kepada ramai gadis untuk bertanya tentang juruteknik capaian tali ini.

"Mereka terinspirasi kerana ia adalah bidang yang dianggap berisiko tinggi, didominasi lelaki, dan melihat seorang wanita menekuni pekerjaan itu suatu hal yang menarik dan baru.

"Saya rasa saya memecahkan tembok halangan untuk wanita muda berani melangkah lebih jauh daripada jangkaan masyarakat," katanya kepada Malaysiakini.

Usahanya juga membuktikan bahawa kerjaya ekstrem sepertinya bukan lagi sesuatu yang jarang-jarang berlaku, walaupun untuk wanita.

"Saya mungkin melakukan kerja yang tidak ramai orang suka lakukan tetapi ia adalah kerja yang semua orang boleh lakukan," katanya bersungguh-sungguh.

"Ada dron pula nampak saya di 'pejabat' saya dan ia menjadi viral," katanya sambil ketawa.

Ruang kerja Normalia terletak di luar bangunan tinggi, di dalam dandang gergasi industri, di limbungan kapal, di atas bumbung pencakar langit dan di mana-mana sahaja yang memerlukan kepakarannya.

“Saya berada di sana (KLCC) selama sebulan dan telah mencapai tahap ketinggian 452m.

“Selepas Menara Berkembar (Petronas) dan kelahiran bayi lelaki saya, impian saya telah berubah.

Tak boleh silap

"Saya tidak lagi mencari untuk melebihi mana-mana ambang ketinggian," katanya.

Juruteknik capaian tali merupakan industri khusus yang memerlukan kerja memanjat dengan tali terutamanya untuk pekerjaan yang perlu mencapai kawasan yang mencabar atau tidak boleh diakses dengan kaedah biasa seperti perancah, kren dan jentera platform.

Oleh itu, juruteknik capaian tali yang dianggap menjimatkan kos dicari untuk pelbagai pekerjaan termasuk pembersihan tingkap dan muka bangunan, mengecat, mengimpal, mencuci, membaiki, memeriksa serta aktiviti penyelenggaraan dan kejuruteraan lain.

Walaupun telah digunakan dengan selamat dengan set kedua tali sandaran dan mengikut protokol keselamatan yang ketat, Normalia mengakui bahawa tiada ruang untuk membuat kesilapan.

"Tiada ruang untuk tergelincir) kerana 'ter' (tergelincir) yang tidak disengajakan itu boleh membawa maut," tegasnya.

Kata Normalia, keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam pekerjaannya.

Sebaik kelajuan angin melebihi 12 knot, kru akan turun untuk keselamatan. Namun begitu, mereka juga perlu sentiasa awas tentang sebarang keadaan cuaca yang berubah di persekitaran mereka.

Mengimbas pengalamannya berdepan cuaca yang tidak menentu, Normalia menceritakan kejadian apabila kilat menyambar tepat di hadapannya.

Pada kesempatan lain, dia dan kru lain dihayunkan di sekitar bangunan 74 tingkat ke seberang, secara tidak sengaja terjerat dengan gondola.

“Kami ditugaskan untuk membersihkan Four Seasons Place, Kuala Lumpur, bersama beberapa kru gondola lain, sejurus sebelum pembukaan rasminya. Apabila cuaca berubah, kami mula turun.

“Tiupan kuat tiba-tiba mendorong kami sehingga ke seberang bangunan.

“Mulanya panik, kerana kami hilang kawalan terhadap keadaan kami, keliru sekejap. Bagaimanapun, kami segera menenangkan diri terlebih dahulu sebelum meneruskan kerja, secara teratur melepaskan diri daripada gondola dan kemudian meneruskan penurunan kami,” katanya.

Serlahkan potensi anda

Kegiatan sukan memanjat merupakan hobi Normalia yang memulakan kerjayanya sebagai sebagai polis bantuan dan selepas tiga tahun bekerja sebagai anggota keselamatan, dia beralih ke industri fesyen runcit, diawali dengan pekerjaan melipat pakaian sehinggalah menjadi peniaga outlet Mango.

Kemudian Normalia menjadi penyelia di premis Massimo Dutti di The Gardens. Pun begitu minat Normalia dalam sukan ekstrem memanjat batu tidak pernah luntur malah membawanya kepada kerjaya profesional.

Normalia yang memiliki Kawasaki Er-6f 600cc sendiri juga sering berlumba dengan motosikal supernya di Litar Elite Speedway Plus di USJ.

Hari ini, dengan 30.2K pengikut di TikTok dan 10.6K pengikut di Instagram, Normalia bermurah hati berkongsi perjalanannya dan pelbagai aspek pekerjaannya sekarang.

Ini termasuk pembaikan atas bumbung yang paling mudah untuk tugas mencabar yang dijalankan ke atas menara transmisi TNB atau kabel di bawah terik matahari tengah hari.

“Kadang-kadang, pengikut saya mungkin fikir saya sedang menunjuk-nunjuk tetapi saya hanya berkongsi untuk mewujudkan kesedaran tentang profesion dan membantu orang lain.

"Saya abaikan saja komen negatif," katanya.

Belum cuba dah mengalah

Akaun media sosialnya juga berkongsi kehidupannya sebagai seorang ibu, menggambarkan keseimbangan antara kehidupan keluarga dan pekerjaan berisiko tinggi.

“Kami berada dalam era baru dengan wanita berkemungkinan berpengaruh seperti lelaki, jadi jangan sekali-kali memandang rendah keupayaan anda.

“Malangnya, ramai gadis cenderung untuk memandang rendah dan menafikan keupayaan diri mereka sendiri, akhirnya menafikan peluang mereka sendiri. Kadang-kadang, belum mencuba pun mereka sudah mengalah.

“Untuk berjaya, anda mesti berani dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Walaupun kebimbangan mengenai prospek pekerjaan yang terhad mungkin timbul, ingatlah bahawa kebimbangan ini tidak selalu mencerminkan realiti, kerana sentiasa ada jalan,” katanya.

Piawaian antarabangsa, tempat kerja global

Selepas menghabiskan lima tahun sebagai juruteknik capaian tali, Normalia kini ahli aktif International Rope Access Trade Association (IRATA) dan memegang status juruteknik tahap dua.

Pensijilan itu, piawaian tertinggi dalam bidang berkenaan, memerlukan juruteknik menjalani ujian pensijilan semula setiap tiga tahun untuk sentiasa dikemas kini tentang teknik kerja selamat.

Dia kini menerima tawaran untuk bekerjasama bagi pekerjaan dalam projek antarabangsa yang biasanya melibatkan kru juruteknik yang pelbagai dari seluruh dunia.

"Kami sentiasa menjadi sebahagian daripada kru dan semasa dua bulan saya baru-baru ini menjalankan pemeriksaan saluran paip di limbungan dok kering di Dubai, rakan sepasukan kami berasal dari Scotland, Mesir, Singapura, India dan Zimbabwe," katanya.

Juruteknik akses tali biasanya bekerja sebagai pekerja kontrak dan bukannya kakitangan tetap dalam syarikat dan mempunyai fleksibiliti untuk memilih antara pekerjaan jangka panjang yang berlangsung sehingga tiga bulan dan projek jangka pendek antara satu hingga dua minggu.

Suami pendorong terbesar

Normalia lebih suka projek jangka pendek kerana ia memberinya kebebasan untuk memilih projek tanpa tinggal di satu lokasi untuk tempoh yang lama.

"Saya dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama anak saya dan suami saya," katanya menjelaskan suaminya juga juruteknik capaian tali.

Kata Normalia, suaminya merupakan pendorong terbesar kerjaya yang diceburinya itu.

Bersemangat untuk memajukan kerjayanya lebih jauh lagi, Normalia telah menetapkan sasarannya untuk menjadi juruteknik mekanikal Derrick Builder.

Ia peranan yang secara tradisinya dikhaskan untuk lelaki kerana ia melibatkan mengangkat peralatan yang sangat berat untuk menjalankan penyelenggaraan jentera berat, biasanya di pelantar minyak.

"Saya berazam untuk mendapatkan pekerjaan ini," katanya dengan yakin.

Sebagai juruteknik tahap satu, lazimnya, dia menggunakan persediaan tali-temali yang sedia ada. Walau bagaimanapun, sebagai juruteknik tahap dua, dia mampu melakukan capaian tali secara bebas dan dilatih untuk melakukan penyelamatan kompleks dalam tetapan industri.

Setiap pasukan kerja di tapak terdiri daripada juruteknik tahap satu, tahap dua dan tahap tiga. Operasi peringkat tertinggi mengambil alih peranan penyeliaan, menyelia perancangan dan pengurusan kerja untuk setiap ahli pasukan, memastikan keselamatan dan kejayaan mereka.

Normalia menjelaskan pada setiap hari di tempat kerja, dia mengekalkan tahap kesediaan mental dan fizikal untuk menangani sebarang cabaran yang mendatang.

“Saya boleh melakukan apa sahaja yang lelaki lakukan. Malah, kadang-kadang saya tangani tugas yang lelaki pun teragak-agak nak handle.

“Ada kalanya, dalam pasukan yang sama, jika seseorang, kerana takut ketinggian, enggan melaksanakan tugas itu, saya akan mengambil alih tugasnya.

"Ia seolah-olah saya yang menetapkan penanda aras," dia ketawa.

[Baca berita asal]


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.

Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Kerabat promosi ganja perubatan, pengasas Halal Hemp

Kenali Hasrul Rizwan - penulis, tukang keranda, pembuat roti

Jati diri Orang Asli dari lensa Ronnie Bahari

Separuh Melayu separuh Cina, hasrat Jamaliah rapatkan jurang kaum

Iklim dalam krisis: Ili Nadiah tak boleh diam

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS