Antara perkataan dan kebenaran mungkin ada disonansi. Lantaran, kita mesti berwaspada.
Sekiranya lalai, disonansi mungkin membawa kesalahfahaman dalam sebarang perbincangan.
Kebenaran adalah satu konsep yang abstrak. Apabila dua orang bersetuju tentang satu perkara, mereka katakan perkara itu benar. Persetujuan sama erti dengan kebenaran.
Misalan: Pandangan bahawa orang tua lebih pengalaman dari orang muda.
Ali dan Atan setuju. Jadi kata-kata ini satu kebenaran bagi mereka.
Tetapi mungkin banyak pula orang lain yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Bagi mereka orang-orang tua sekarang banyak ketinggalan zaman.
Misalan: Haji Kahar seorang askar prebet yang telah bersara. Anaknya Kadir pula pergi ke Harvard Business School, dan menjadi CEO syarikat korporat besar di Kuala Lumpur.
Besar kemungkinan Kadir lebih pengalaman dari bapanya Haji Kahar.
Misalan di atas menunjukkan bahawa mencari makna kebenaran bukan senang. Apa yang benar bagi satu pihak mungkin salah bagi pihak lain.
Apa lazat bagi satu pihak, pahit bagi yang lain. Yang jauh bagi satu pihak, dekat bagi yang lain. Masing- masing mempertahankan ‘kebenaran’ masing masing, menyebabkan senang munculnya disonansi. Kebenaran seringkali membawa pertelingkahan.
Kebenaran agama
Setiap kali dua orang membahaskan tentang ‘kebenaran’, pertelingkahan atau tidaksetujuan sering berlaku, termasuk dalam isu agama dan kepercayaan.
Ah Chong: “Kebenaran itu bermaksud kepercayaan kepada Tuhan, pada hari kiamat, kepada adanya syurga dan neraka.”
Atan: “Kebenaran itu kepercayaan, percaya kepada Allah, pada hari kiamat, kepada adanya syurga dan neraka.”
Di sini kebenaran dikaitkan dengan kepercayaan terhadap bukan sahaja agama, malah khusus pada Islam.
Tetapi ada juga manusia yang tidak bersetuju kepada Ah Chong dan Atan. Mereka ini seolah- olah berkata:
Ateis: “Kami tidak percaya kepada adanya Tuhan, hari kiamat, syurga dan neraka,” atau,
Agnostis: “Tuhan yang mana, Tuhan orang Yahudi? Orang Kristian? Orang Islam?” atau,
Orang Bali: “Kami percaya adanya dewa baik dan dewa jahat.”
Huraian diatas menyentuh ‘kebenaran’ bukan sahaja kepercayaan terhad kepada ada atau tidaknya Tuhan. Malah ia penuh dengan kekeliruan yang menghasilkan pertelingkahan.
Perhatikanlah, satu perkataan ‘kebenaran’ mempunyai banyak maksudnya. Banyak disonansi!
Di bawah saya cuba kurangkan makna kebenaran dari ‘banyak’ kepada dua sahaja.
3.3 Kinabalu dari segi sains
Gunung Kinabalu (4095.2 meter) puncak tertinggi di Malaysia, dan ketiga tertinggi di Asia Tenggara. Terdapat beberapa jenis tumbuhan, burung, batu, jarang dijumpai di tempat lain.
Keindahanya pula dilaung-laungkan dalam brosur pelancongan dan disebarkan di seluruh dunia.
Malah, masyarakat termasuk pelawat luar negeri, sering diseru dan dipelawa mengunjung dan mendakinya.
Kebenaran ini mengandungi beberapa ciri:
Ia nyatakan adanya beberapa jenis tumbuhan, dan burung dan batu, kesemuanya dari aspek fizikal.
Kesemua ini mengandungi angka, dan ukuran panjang, lebar, tinggi.
Pengetahuan berasaskan bukti nyata yang boleh dilihat dengan kacamata manusia.
Justeru, kebenaran ini diterima oleh seluruh masyarakat dunia.
Kinabalu dari kacamata kepercayaan dan budaya
Rakyat tempatan seperti Kadazandusun menamakan gunung ini “Akinabalu” bermaksud “rumah mereka yang mati”.
Ini menunjukan gunung ini satu kawasan suci, berkait rapat dengan agama dan kebudayaan kaum tempatan.
Dakwaan gunung ini rumah mereka yang mati tidak mengandungi sebarang ukuran, hanya kepercayaan.
Ia wujud dalam minda sahaja.
Justeru kebenarannya diterima oleh masyarakat tempatan sahaja.
Dua jenis kebenaran
Di tahap ini kita dapat atau temu satu cara memahami maksud kebenaran, dengan membahagikannya kepada dua kategori:
Kebenaran berdasarkan bukti nyata yang berada dalam alam realiti
dan boleh diukur panjang, lebar dan tingginya. Misalan: Orang ada satu kepala, dua tangan, dua kaki.
Kebenaran berasaskan pendapat, ajaran, pengalaman, orang orang tua. Kebenaran ini berada dalam alam mental sahaja. Misalan: Gunung Kinabalu rumah orang mati.
Kedua-dua jenis kebenaran ini jauh bezanya hinggakan memadai diberi istilah atau nama baru dan berasingan. Ini untuk mengelakkan kekeliruan.
Benar sejagat
Kebenaran berasaskan fakta dan bukti dan butir butirnya diterima oleh manusia sejagat diberi nama ‘benar sejagat.’
Benar budaya
Kebenaran berasaskan kepercayaan diterima oleh segolongan kecil manusia sahaja. Ia terhad kepada pengalaman, pengetahuan kaum tua, dan wujud dalam minda sahaja.
AB SULAIMAN ialah seorang penulis yang memfokuskan kepada isu-isu Melayu. Buku tulisannya antaranya Looking Into The Alternate Malay Universe: Crisis And Opportunity in A Pandemic dan Pemikiran Melayu: Kolot atau Progresif.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Berikut ulasan-ulasan dalam siri ini:
Malaysia mundur ke belakang (1)