Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Felda desak kilang sawit punca pencemaran air ditutup

Kira-kira 12,000 penduduk di kawasan Felda Keratong dan Selancar, dekat Muadzam Shah, Rompin, Pahang mendesak agar kilang memproses kelapa sawit yang gagal mematuhi syarat lesen ditutup.

Mereka mendakwa terdapat kilang beroperasi di kawasan tanah rancangan itu menjadi punca pencemaran sungai hingga berlaku masalah gangguan bekalan air bersih kepada penduduk.

Pengerusi persatuan penduduk taman Keratong Indah, Mohd Asri Ramli berkata, terdapat enam kilang memproses kelapa sawit di kawasan tanah rancangan Felda berkenaan.

Katanya, semua kilang terbabit terletak di hulu sungai Pukin yang menjadi sumber air utama kepada penduduk di situ.

"Air dari sungai ini menghala ke Sungai Keratong sebelum diproses di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Rekoh dan disalurkan kepada pengguna.

"Kebanyakan penduduk dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Bukit Ibam dan Muadzam Shah mengharapkan sumber air dari LRA terbabit.

"Jika berlaku pencemaran dan loji (LRA) terpaksa ditutup, ia menjejaskan hampir 12,000 penduduk di kawasan ini," katanya ketika ditemui di Keratong, Muadzam Shah, hari ini.

Terdahulu, Mohd Asri bersama penduduk dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Generasi mewakili komuniti Selancar dan Keratong menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Keratong.

Memorandum itu bagi meminta bahagian pelesenan MPOB mengambil tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen kilang yang tidak mematuhi syarat lesen ditetapkan.

Difahamkan enam kilang di situ adalah kilang Selancar 2A, kilang Selancar 2B, kilang Pukin Oil Mill, kilang Kuantan Trading, kilang RISDA Ulu Keratong dan kilang Lum Trading.

Seorang lagi penduduk, Yahya Darus berkata, masalah gangguan bekalan air pernah berlaku kira-kira dua tahun lalu selepas kolam rawatan efluen sebuah kilang pecah dan mencemarkan sungai Pukin.

"Kejadian (pencemaran sungai) pada bulan Jun 2021 berpunca dari kolam sebuah kilang yang pecah berikutan hujan lebat.

"Sisa efluen dari kolam itu mengalir ke sungai Pukin dan mencemarkan air sungai berkenaan.

"Penduduk terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air selama 10 hari semasa kejadian itu dan memang menyusahkan, mengganggu urusan harian," katanya.

Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Ibam, Nazri Ahmad ketika ditemui berkata, kegusaran penduduk di kawasan berkenaan akan dibawa kepada pihak berkaitan.

Katanya, masalah dihadapi penduduk kawasan itu boleh diatasi jika pihak berkuasa lebih tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang hingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

"Saya dimaklumkan bulan lepas pun ada berlaku masalah pencemaran air berpunca dari kolam takungan sisa kilang sawit.

"Apabila berlaku pencemaran, LRA tidak boleh beroperasi, bekalan air tak boleh disalurkan kepada penduduk dan lebih teruk lagi ekosistem sungai seperti ikan dan udang turut terjejas.

"Semua ini mengakibatkan kerugian kepada penduduk, terutamanya mereka yang menjadikan sungai Pukin sebagai tempat mereka mencari rezeki," katanya.

Nazri turut mencadangkan supaya konsep kilang sawit pintar diperkenalkan MPOB sebelum ini diperluaskan ke kilang yang terdapat di kawasan Keratong dan Selancar.

Katanya, inisiatif MPOB membangunkan kilang seperti itu adalah penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah pencemaran sungai terus berlaku.

Disember lalu, MPOB dan Fusionex Group mengumumkan kerjasama untuk pembinaan kilang sawit pintar di Keratong, Pahang.

Kilang itu akan menggunakan konsep pelepasan sisa sifar atau 'zero discharge' sejajar dengan usaha bagi mengurangkan jejak karbon dalam industri komoditi.

Pembinaan kilang itu dijangka siap hujung 2024 dan beroperasi awal tahun 2025 dengan kapasiti pemprosesan buah tandan segar sawit sebanyak 30 tan sejam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS