Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan setuju gubal Akta Kebebasan Maklumat
Diterbitkan:  Sep 14, 2023 9:57 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKTTN) pada dasarnya bersetuju untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"(Ini) dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan.

"Selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) juga akan dipinda sewajarnya.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara," kata PMO pada satu kenyataan hari ini.

Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 membenarkan kerajaan mengklasifikasikan sebarang dokumen sebagai sulit dan sesiapa yang mendedahkan maklumat berkenaan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun.

Untuk sekian lama, undang-undang itu dilihat sebagai alat kerajaan untuk menyimpan rahsia hal urusannya atau - lebih buruk - untuk menutup skandal-skandalnya.

Pentadbiran PH pada 2018 pernah berkata kerajaan akan menggubal Akta Kebebasan Maklumat untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata jawatankuasa kabinet bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu.

"Ini dengan memfokus kepada sesi libat urus dan 'outreach' yang mencukupi dengan masyarakat," katanya pada 18 Julai 2018.

Pun begitu, pada 27 Ogos 2018 Dr Mahathir memberitahu Malaysiakini dia bersetuju bahawa OSA pernah disalahgunakan, tetapi percaya kerajaan masih memerlukan undang-undang itu.

"Ada perkara yang mesti kami rahsiakan... Sebagai contoh, jika kami memberitahu semua perkara yang telah kami bincangkan dalam kabinet, ramai menteri yang akan dikecam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS