Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YDP PAS didakwa anjur program bertentangan titah Raja Perlis
Diterbitkan:  Sep 14, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: Jun 14, 2024 8:41 AM

Seorang pemimpin PAS peringkat kawasan hari ini didakwa melakukan kesalahan kerana menganjurkan ceramah agama membabitkan seorang individu tiada tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Yussaine Yahya didakwa melakukan kesalahan tersebut antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (Matin) di Kampung Abi Padang Machang, Kangar pada 30 Mac lalu.

Dia merupakan mudir Matin.

Menurut laporan BH Online, Yang Dipertua PAS Kangar itu kemudian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Rendah Syariah Kangar, di hadapan hakim Mohamad Zaidi Abdullah.

Atas tindakan tersebut Yussaine didakwa melanggar Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 serta menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganjurkan program Solat Terawih dan Sembang Santai bersama Mohamad Wadi Anuar Ayub.

Yussaine didakwa bertindak secara bertentangan dengan titah kenyataan rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai pematuhan terhadap dasar dan peraturan berkaitan hal ehwal Islam Perlis.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Perlis.

Ketua Pendakwa Syarie Siti Fatimah Ahmad Maulana bertindak sebagai pendakwa manakala tertuduh diwakili peguam Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Siti Fatimah dalam pendakwaannya memohon mahkamah memberi jaminan ke atas Yussaine sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin dengan salah seorang daripadanya merupakan penjawat awam.

Namun permohonan itu dibantah peguam bela yang menganggap ia tidak relevan, terutama membabitkan keperluan seorang daripada penjamin itu penjawat awam.

Pasukan peguam turut memohon agar jaminan tertuduh dapat dikurangkan.

Hakim kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam tertuduh untuk tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Selain itu juga, mahkamah menetapkan 18 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS