Paling Popular
Terkini

Seorang bekas menteri Perikatan Nasional (PN) yang membahaskan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 menggesa kerajaan untuk tidak lagi dalam "sindrom penafian" berhubung masalah bekalan beras keluaran tempatan.

Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang merupakan bekas menteri pertanian dan industri makanan, memetik aduan orang ramai mengenai kekurangan bekalan beras tempatan yang dijual pada harga subsidi terkawal RM2.60 sekilogram.

"Sekarang ini pengguna tidak dapat membeli beras putih tempatan pada harga RM2.60 satu kilogram. Beras import dijual dalam anggaran RM3.60 hingga RM3.90 satu kilogram. Kita sepatutnya ada pilihan beras tempatan. Sebab itu saya katakan kementerian harus siasat kenapa kita tidak dapat memperolehi beras putih tempatan di pasaran tempatan.

"Adakah ini disebabkan oleh manipulasi untuk mengaut keuntungan? Ataupun ada pihak kilang yang enggan memproses padi tempatan ini untuk dijual sebagai beras tempatan, kerana memproses beras dari luar lebih menguntungkan?

"Jadi kerajaan harus tidak dalam sindrom penafian tetapi melihat dan menyiasat perkara ini agar rakyat Malaysia dapat membeli beras tempatan dengan harga RM2.60 satu kilogram," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah menteri Mohamad Sabu perlu mempertimbangkan untuk mengkaji semula eksport beras Malaysia sehingga bekalan domestik stabil.

Dia menyifatkan kekurangan dalam negeri disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import, manakala pada masa sama, Malaysia terus mengeksport sebahagian daripada hasil berasnya.

"Ini harus menjadi satu perkara yang mesti diuruskan oleh kementerian supaya pengeksportan beras ini mesti melalui satu garis panduan di mana bekalan dalam negara harus cukup dulu sebelum kita eksport dulu.

"Saya mahu cadangkan agar kita kurangkan jumlah eksport beras sehingga bekalan beras tempatan di pasaran stabil," katanya.

Sementara itu, Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengecam kerajaan, dengan mengimbau kembali ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu yang ketika itu menyaksikan beras kekurangan bekalan.

“Adakah kita mahu menggalakkan rakyat kita kembali makan ubi kayu seperti zaman Jepun dahulu?” katanya.

Pada 4 Sept lepas, Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras Azman Mahmood, dilaporkan berkata kerajaan telah mengambil langkah campur tangan untuk meningkatkan bekalan beras tempatan.

Azman dipetik Bernama sebagai berkata, kerajaan telah mengarahkan pengilang padi di wilayah Utara meningkatkan pengeluaran mereka sebanyak 20 peratus dan menyalurkannya melalui Padibernas Nasional Bhd (Bernas), dengan sasaran tambahan 423,000 tan metrik beras setahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS