Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
266 sekolah agama swasta belum berdaftar di Johor

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan 266 sekolah agama swasta yang belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia membabitkan 31 buah sekolah tahfiz, 12 buah pondok agama, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

“Sebagai makluman tambahan, JAINJ kini giat berusaha untuk memberi pendedahan tentang kewajiban mendaftar kepada institusi pendidikan peringkat prasekolah.

“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam negeri Johor, sekolah itu perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-Kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) pada persidangan DUN Johor hari ini.

Mohd Fared berkata JAINJ juga akan terus memantau dan membantu sekolah tahfiz yang mempunyai kekangan dalam mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada pelbagai pihak.

Setakat ini, katanya, terdapat 37 sekolah agama swasta merangkumi kategori sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran penuh dan melengkapkan dokumen pendaftaran mereka.

Terdahulu, Gan bertanyakan bilangan sekolah-sekolah agama swasta yang tidak berdaftar dan proses pemutihan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS