Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN |  Hari Malaysia bukan sekadar sambutan

Hakikatnya, masih ramai yang tak tahu perbezaan antara Hari Merdeka (yang kini dinamakan Hari Kebangsaan) dan Hari Malaysia, bahkan ada yang menganggap Hari Merdeka dan Hari Malaysia itu sama. 

Sebenarnya situasi ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan kita akur bahawa rakyat di negara ini semakin luntur semangat patriotiknya sekali gus memberi kesan terhadap pengetahuan mereka tentang negara.

Kalau yang tahu pun sekadar melihat Hari Malaysia hanyalah hari penubuhan Persekutuan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun sejarah perjuangan ke arah itu kurang diketahui.

Persoalan yang lebih utama, adakah kita tahu yang pembentukan Malaysia ini sebenarnya bukan sekadar gabungan negeri-negeri dan wilayah tertentu, bahkan gabungan antara rakyat berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India serta penduduk pribumi Sabah dan Sarawak.

Malaysia cukup bertuah kerana rakyatnya mampu hidup bersatu padu dan bersepakat untuk menyelesaikan segala sengketa menerusi saluran diplomasi, natijahnya, negara kita kekal aman, damai dan makmur. 

Sambutan Hari Malaysia pada kali ini cukup bermakna apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat Sabah. 

Lawatan ini bukan sekadar lawatan biasa akan tetapi ia bukti bahawa baginda Agong merupakan payung kepada semua rakyat tak kira agama dan kaum.

Mungkin kita tercuit hati melihat telatah rakyat Sabah yang teruja bertemu dengan Seri Paduka tetapi sedarkah kita mereka yang menyambut Agong itu terdiri dalam kalangan etnik yang berbeza? 

Sedarkah kita bahawa di Sabah terdapat 34 etnik? Bolehkah kita menyenaraikan satu persatu?

Inilah perkara utama yang saya ingin sentuh sebenarnya iaitu adakah kita benar-benar sudah mengenali antara satu sama lain? 

Saya yakin, ramai lagi dalam kalangan kita yang masih belum pernah mendengar nama-nama etnik di Sabah seperti Rumanau, Lotud, Tidung, Kedayan Nokang dan Mangkak. 

Itu baru Sabah, kalau Sarawak yang ada sekitar 101 kumpulan etnik pula bagaimana? 

Pasti ada yang bertanya, pentingkah nak tahu pasal etnik ini semua? Jawapan saya sudah tentu kerana kalau kita tak kenal siapa saudara kita, bagaimana kita nak hidup bersama? Bagaimana kita nak memahami antara satu sama lain?

Kita tak perlu tahu secara terperinci, cukuplah sekadar tahu maklumat-maklumat tertentu seperti budaya, agama dan bahasa mereka. 

Dalam masa kita menyambut Hari Malaysia yang bakal tiba tak lama lagi, kita juga akan menyambut Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh kaum Cina pada 29 September nanti.

Perayaan ini sangat sinonim dengan kuih bulan bahkan saya yakin ramai dalam kalangan anda pernah merasa keenakan kuih bulan. 

Jangan risau, ia halal dan anda boleh cuba pelbagai perisa seperti kacang merah, kacang hijau atau perisa lotus, makan dengan secawan teh baru enak! 

Apa yang menjadi pleasant surprise kepada saya, kini ramai orang Melayu Islam yang membuat kuih bulan bahkan kuih bulan mereka sangat terkenal dan dicari rakyat berbilang kaum bila tiba musim perayaan ini.

Realitinya, suka atau pun tidak, kita tak boleh berbicara tentang Malaysia tanpa menggabungkan tiga aspek utama iaitu agama, kaum dan istana (3R) kerana itulah asas pembentukan negara kita.  

Sayangnya sekarang kita menyaksikan era yang tidak pernah terjadi bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia, di mana kita dihadkan dari bercakap mengenai isu bangsa dan agama yang merupakan sebahagian dari identiti kita.

Semua orang boleh bercakap isu 3R namun dalam bentuk yang positif dan berniat untuk menyatupadu. Yang tak boleh itu ialah 3R yang memecahbelahkan antara satu sama lain

Kalau tak boleh cakap langsung tentang 3R, bagaimana guru nak mengajar di sekolah tentang masyarakat yang berbilang kaum? 

Kaitan Melayu dengan Islam itu adalah fakta dan hak bumiputera itu terkandung dalam perlembagaan, Ini semua ada kaitan dengan 3R dan kita tak boleh lari daripadanya.

Saya fikir, isu 3R ini harus diperhalusi semula supaya ia tidak dijadikan senjata politik semata-mata sebaliknya kita jadikan ia sebagai senjata menyatupadukan seluruh rakyat jelata.

Selamat Hari Malaysia!   


RINA HARUN adalah ketua Wanita Perikatan Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS