Pengerusi Biro Undang-undang Amanah Zulqarnain Lukman menyanggah kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam.
Zulqarnain yang merupakan pengamal undang-undang berkata, DNAA adalah berkaitan dengan aspek prosedur yang kebanyakannya diputuskan berdasarkan ijtihad semasa.
Dia juga membangkitkan Enakmen Tatacara Syariah (Terengganu) 2001 yang turut mengandungi peruntukan berkaitan DNAA, iaitu dalam Seksyen 103.
"Seksyen ini hampir sama seperti Seksyen 254 Kanun Keseksaan yang digunakan oleh pendakwa sivil," katanya di Facebook, semalam.
Seksyen 103 itu menyatakan:
(1) Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.
(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika mahkamah mengarahkan sedemikian.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat semalam, Abdul Hadi memetik kisah bagaimana pemerintah Uthmaniyyah Sultan Muhammad Al-Fateh - yang juga dikenali sebagai Mehmed Penakluk - telah didapati bersalah kerana tersilap memotong tangan seorang arkitek bukan Islam.
Bagaimanapun, arkitek bukan Islam itu memilih pampasan seumur hidup dan bukannya meminta supaya tangan pemerintah dipotong juga sebagai hukuman balasan.
Menurut Hadi, kisah ini menunjukkan kuasa untuk mengampun, menuntut tindakan sama rata atau menerima pampasan adalah mengikut budi bicara pengadu.
“Dalam Islam tak ada dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). Mesti dikenakan hukuman,” kata Hadi, berkemungkinan besar mengulas kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepas tanpa dibebaskan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zulqarnain membangkitkan Enakmen Tatacara Syariah (Terengganu) 2001 itu digubal ketika Abdul Hadi sendiri menjadi menteri besar di negeri itu.
Justeru, dia mempersoalkan keputusan Abdul Hadi untuk membenarkan enakmen itu diluluskan "di depan batang hidungnya sendiri" jika ia tiada dalam Islam.
"Proses penggubalan enakmen lazimnya sudah melalui proses jawatankuasa teknikal. Dalam konteks Terengganu, pastinya mufti dan ketua hakim syarie sendiri akan terlibat.
"Dalam hal ini, Abdul Hadi perlu menarik balik kenyataan bahawa DNAA tiada dalam Islam," kata ahli Jawatankuasa perundangan PH itu lagi.
Semalam, ahli Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali menyifatkan Abdul Hadi keliru dengan hukum-hakam Islam memandangkan DNAA adalah sebahagian daripada kaedah al-aslu bara'atu zimmah.
Kaedah itu menyamai konsep seseorang itu tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah dan secara literal diterjemahkan kepada seseorang pada mulanya bebas daripada tanggungjawab.
Khairuddin berkata ini bermakna seseorang pendakwa dibenarkan melepaskan tertuduh jika ada keperluan untuk siasatan lanjut.