Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam.
Kenyataan itu dibuat ketika pelbagai pihak mempertikaikan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon menghentikan kes rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Dalam Islam tak ada dilepaskan tanpa dibebaskan.
“Mesti dikenakan hukuman,” kata Hadi dalam sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Bagi mendukung hujahnya, dia memetik kisah Sultan Muhammad al-Fatih yang dihukum bersalah oleh hakim kerana memotong tangan seorang arkitek kerana menggunakan pelan masjid yang salah.
Perkara itu, katanya, menunjukkan “tiada DNAA dalam kehakiman Islam”.
Dalam kisah itu, dia berkata hakim memutuskan Sultan Muhammad al-Fatih bersalah dan dijatuhi hukuman potong tangan atau membayar diat (denda).
“Dan dia (arkitek) (pilih) terima pampasan seumur hidup sehingga dia meninggal dunia.
“Itu lebih baik dari dia potong tangan sultan,” katanya.
Hadi juga berkata kes di itu menunjukkan terdapat amalan pengasingan kuasa antara pihak eksekutif dan kehakiman.
Sistem kehakiman Malaysia, yang dipengaruhi oleh common law British, bagaimanapun tidak dapat disamakan dengan sistem keadilan ketika era Empayar Uthmaniyah.
‘Saya akan pilih penjara’
Sementara itu, anggota parlimen Marang turut menyentuh dakwaann terhadapnya berhubung kenyataan berbaur kaum, agama dan raja (3R), sehingga menyebabkan dia dipanggil oleh polis.
“Saya tunggu dibicarakan di mahkamah dan saya sedia dihukum. Tak tau sama ada dipenjara atau denda.
“Saya pilih penjara.
“(Kalau) denda, baik bagi derma pada Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam).
”Dan kalau dihukum sudah pasti berlaku, tak layak jadi MP dan akan ada PRK Marang,” katanya.
Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan dibuka terhadap Hadi bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.