Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, dia menghormati hak ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu, Isham Jalil memberikan sesuatu pandangan.
Ahmad Zahid juga senada dengan beberapa pemimpin politik lain yang menanggap pandangan diberikan Isham itu bersifat peribadi.
Pada masa sama timbalan perdana menteri itu menegaskan pandangan perbadi tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain.
"Saya menghormati pendapat peribadi (diberikan Isham) tetapi jangan memaksa semua orang menghormati pendapat yang diberikan itu," katanya kepada media hari ini.
Ahmad Zahid ditemui media selepas merasmikan International Halal Showcase di Kuala Lumpur.
Semalam media melaporkan pandangan kritis Isham terhadap pemimpin Umno, khususnya selepas berakhir pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Renggam.
Menurut bekas ketua penerangan Umno Malaysia itu, parti terbabit kehilangan kira-kira 27,000 undi Melayu dalam PRK pada 9 Sept lalu.
Dia juga menggesa Umno mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan semua tiga juta ahli parti berkenaan mengenai hala tuju mereka, sama ada sedia terus bekerjasama dengan DAP atau sebaliknya.
Sebelum ini dia juga menggesa Umno mengadakan perhimpunan khas ekoran kegagalan parti itu dalam pilihan raya negeri di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
Mengulas mengenai cadangan referendum oleh Isham, Ahmad Zahid menolak idea berkenaan.
"Kenapa perlu referendum? Tak perlu referendum," katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Isham akan dipecat kerana lantang mengkritik kepimpinannya.
“Dia lebih tahu daripada saya… itu masalahnya,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.