PARLIMEN l Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) hari ini mempersoalkan keupayaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan strategi yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memperkukuh tadbir urus dan integriti untuk membina semula kepercayaan rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempersendakan reformasi yang dijanjikan oleh Anwar ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat, dengan memetik beberapa perkembangan sejak pilihan raya umum ke-15 tahun lepas.
“Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun (Anwar Ibrahim) semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12 memetik hadis berkenaan dengan sifat amanah.
"Pernyataan ini baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan YAB Tambun untuk mengotakan apa yang dikata.
“Tatakelola katanya sudah jadi tatakelaut. Tak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicadang sepanjang lebih 20 tahun dahulu sudah jadi reformati,” sindir Muhyiddin.
Antara lain, Muhyiddin mendakwa janji yang tidak ditunaikan setakat ini termasuk matlamat untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negeri, serta pemberian dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen.
Dia turut memberi beberapa contoh projek yang dilihat berat sebelah - akan dilaksanakan di negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan - Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.
“Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berada di negeri PN langsung tidak disebut.
“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua ahli parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksanakan.
“Di mana sifat amanah, adil dan integritinya?” soalnya.
Presiden Bersatu itu juga mempersoalkan sama ada model pembasmian kemiskinan sekarang kekal realistik, dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan inflasi semasa.
Katanya, walaupun data eKasih menunjukkan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar, berkurang daripada 124,744 kepada 188,217 KIR, namun berlaku kenaikan harga barang yang keterlaluan terutama barang makanan dan keperluan harian seperti beras.
Sehubungan itu, Muhyiddin sangsi dengan sasaran kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini.
"Adakah garis kemiskinan yang diguna pakai untuk menentukan status kemiskinan isi rumah masih realistik dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan kadar inflasi semasa.
"Realitinya, model pembasmian kemiskinan telah berubah daripada yang memfokuskan pendapatan isi rumah semata-mata kepada kemiskinan pelbagai dimensi termasuk miskin pendidikan, miskin kesihatan, miskin keperluan asas dan miskin taraf hidup.
"Justeru, model pembasmian kemiskinan yang realitik mestilah diwujudkan terlebih dahulu sebelum berjanji untuk menoktahkan kemiskinan," katanya.
Bekas perdana menteri itu juga menyentuh mengenai tindakan membebaskan seorang pemimpin daripada 47 pertuduhan rasuah yang menurutnya telah menjejaskan reputasi negara untuk menarik pelabur asing.
Malah kata Muhyiddin, tindakan tersebut hanya akan memberi tanggapan Malaysia sebagai negara penyangak yang setaraf dengan negara-negara dunia ketiga.
“Antara perkara utama yang mesti dilaksanakan untuk menarik pelabur asing ialah memastikan sistem keadilan di negara kita benar-benar bebas daripada campurtangan pemerintah.
“Berita pelepasan seorang pemimpin kanan kerajaan daripada 47 tuduhan rasuah atas arahan peguam negara selepas dia dipanggil membela diri di mahkamah bukanlah satu contoh yang baik mengenai kebebasan sistem keadilan di Malaysia.
“Kita dilihat oleh pelabur asing sebagai setaraf dengan negara-negara dunia ketiga yang digelar sebagai negara penyangak atau ‘the rogue state’,” katanya.
Tanpa menyebut secara terperinci, presiden Bersatu itu dipercayai merujuk kepada keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang pada 4 September lalu, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.