ADS
mk-logo
Berita
Petani Perak harap k'jaan selamatkan kebun demi keterjaminan makanan

Sekumpulan petani di Perak mengadakan protes di luar bangunan Parlimen hari ini untuk meminta kerajaan campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri untuk menukar kebuh-kebun mereka menjadi kawasan perindustrian dan perumahan.

Kumpulan itu - yang mendakwa mewakili 250 petani di Perak - berkata kawasan seluas 1,600 ekar itu telah diusahakan untuk hasil tanaman sejak lebih 80 tahun lalu.

Sepuluh petani diiringi beberapa pemimpin PSM dan wakil NGO Lawan Lapar berhimpun di luar pintu pagar Parlimen, sementara satu lagi kumpulan yang kebanyakannya ahli PSM dan aktivis Lawan Lapar berkumpul di Plaza Tugu Negara yang berdekatan.

Turut ada di situ adalah anggota polis yang mengawal perhimpunan.

ADS

Kumpulan di Plaza Tugu Negara, termasuk Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, bergerak untuk menyertai himpunan di luar Parlimen namun dihalang oleh polis.

Rakaman polis menghalang peserta tular di media sosial, dengan ramai mengkritik kerajaan dan polis kerana menghalang perhimpunan aman.

Antaranya adalah dua ahli parlimen DAP, iaitu Kelvin Yii dan Syahredzan Johan yang menyatakan mana-mana pihak perlu dibenarkan masuk ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum.

Jurucakap lawan Lapar Tharma Pillai juga menyuarakan kekecewaannya dengan tindakan polis yang menghalang peserta bertemu dengan wakil rakyat.

ADS

"Ini tidak munasabah. Apabila rakyat ingin menyuarakan kebimbangan mereka dan membuat tuntutan, peranan polis sepatutnya adalah melindungi dan memastikan suara mereka didengar, berbanding menyukarkan lagi mereka," katanya.

Polis akhirnya berlembut dan membiarkan dua kumpulan itu bergabung di luar Parlimen.

Di situ, petani dari Chemor, Tan Tean Chee menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, wakil Jabatan Perdana Menteri dan wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dari PKR kemudian turut bertemu dengan mereka dan berjanji akan melihat tuntutan mereka secara terperinci.

Pengerusi PSM Dr Jeyakumar Devaraj berkata sejak 15 tahun lalu, kerajaan Perak telah menjual lebih 1,600 ekar tanah yang diperuntukkan untuk penanaman sayuran, buah serta penternakan ikan dan itik kepada pelbagai pihak untuk projek perumahan dan industri.

Dr Jeyakumar

"Ini bukan lagi isu petani sahaja, tetapi masalah kekurangan bekalan makanan yang perlu dihadapi seluruh negara.

"Harga sudah naik. Adakah kita ingin terus musnahkan tanaman sayuran?

"Kita telah pun berhubung dengan kerajaan Perak tetapi mereka tidak ingin mendengar kerana syarikat swasta telah membayar untuk beli tanah itu," katanya.

ADS

Katanya lagi, kehadiran mereka adalah untuk meminta Parlimen berunding dengan kerajaan Perak untuk mendapatkan semula tanah tersebut.

Pada masa sama, bekas ahli parlimen Sungai Siput itu juga menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tindakan kerajaan Perak yang memajak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kepada syarikat swasta.

Dia menegaskan petani bukan ingin menjadi pemilik tanah tetapi mahu mendapatkan persetujuan mengikut prosedur bagi memastikan keterjaminan makanan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS