Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq duduk di bahagian belakang seorang diri
Diterbitkan:  Sep 12, 2023 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Susulan keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Ahad lalu yang mengumumkan parti itu telah keluar daripada blok kerajaan, ahli Parlimen tunggalnya, Syed Saddiq Abdul Rahman kini dipindahkan ke blok pembangkang di bahagian belakang Dewan Rakyat.

Berdasarkan pelan kedudukan Dewan Rakyat, presiden Muda itu ditempatkan di kerusi bernombor E38 dengan terdapat empat kekosongan kerusi di sebelah kanannya. Wakil dari Muar itu tidak diapit oleh ahli-ahli Parlimen lain.

Dia bagaimanapun kini duduk sebaris dengan ahli Parlimen Gerik, Fathur Huzir Ayob; ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya dan ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Di blok kerajaan, dia berada berdekatan dengan kerusi ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan ahli Parlimen Kluang, Wong Shui Qi.

Sebelum ini, semasa bersama blok kerajaan, kerusi Syed Saddiq bernombor D7. Dia ditempatkan di kedudukan paling strategik di bahagian tengah barisan kedua blok kerajaan, iaitu bersebelahan dengan ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.

Muda menarik diri daripada bersama kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang melepaskan tanpa membebaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 4 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, ketika kes itu sedang berada peringkat prosiding bela diri.

Anwar menerajui Putrajaya pada November tahun lalu dengan disokong oleh 148 daripada 222 anggota parlimen, dan ini merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.

Jumlah 148 itu adalah termasuk Syed Saddiq, dan secara teori, kerajaannya kini tidak lagi menikmati majoriti dua pertiga dan tidak boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS