Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan 3R: Muhyiddin tunjuk tanda bagus
Diterbitkan:  Sep 12, 2023 12:26 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan kepada polis pada jam 10.25 pagi ini di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di Kuala Lumpur.

Keterangan itu bagi membantu siasatan berhubung ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh dilihat masuk ke dalam bangunan itu pada jam 9.28 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire.

Kurang sejam kemudian, bekas perdana menteri itu ketika ditanya berhubung proses merakamkan keterangan hari ini hanya tersenyum sambil mengangkat tangan isyarat bagus, tanda bagus ketika ditanya pemberita sebelum beredar.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihaknya akan melengkapkan siasatan berhubung dakwaan ucapan 'fatwa haram' dikaitkan dengan Muhyiddin semasa kempen pilihan raya kecil berkenaan.

“Polis akan lengkapkan siasatan untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada media hari ini.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Selasa ini untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan polis sekali lagi akan merakam percakapan Muhyiddin berhubung kenyataan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja) berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen PRK itu pada Khamis ini.

Memetik Razarudin, portal itu melaporkan kenyataan Muhyiddin akan dirakamkan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Kita telah membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis diterima pada 7 September lalu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Pada 3 September lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah semasa kempen DUN Simpang Jeram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS