Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham jangka dipecat dari MKT Umno kerana tak 'promosi' DAP
Diterbitkan:  Sep 12, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mendakwa beberapa pemimpin parti termasuk dirinya mungkin dipecat pada minggu ini.

Dia mendakwa perkembangan itu kerana terdapat pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan DAP.

"Pemimpin pro-DAP ini suruh saya letak jawatan. Saya tidak akan letak jawatan. Saya dipilih oleh akar umbi.

"Saya dengar minggu ini ada beberapa lagi ahli Umno akan dipecat dalam mesyuarat nanti. Ada ura-ura kata nama saya pun mungkin tersenarai," katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Tambah Isham, dia menyerahkan keputusan sedemikian kepada pucuk pimpinan parti, tetapi menegaskan perjuangannya untuk bangsa, agama dan negara adalah ikhlas.

Isham berkata demikian sebagai jawapan kepada komen seorang lagi ahli MKT Umno, Lokman Noor Adam, yang semalam meminta dia meletak jawatan.

Lokman berkata ia kerana Isham tidak sehaluan dengan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan DAP yang juga parti komponen PH.

Lokman juga mendakwa kenyataan dibuat Isham sering merugikan Umno.

Isham dalam kenyataannya menafikan dakwaan dia menggesa ahli Umno supaya tidak mengundi DAP.

Dia berkata dakwaan itu disalah lapor oleh media berbahasa Cina, yang kemudian telah meminta maaf dan mengeluarkan penjelasan.

Bagaimanapun, Isham berkata walaupun dia bersetuju Umno membentuk kerajaan bersama DAP selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, dia tidak bersetuju Umno menyertai pilihan raya bersama-sama dengan DAP.

Dia juga melahirkan rasa lega kerana dia bukan lagi ketua penerangan Umno.

"Saya tidak rindu jawatan ini terutama apabila sebagai ketua penerangan ia perlu mempromosi DAP, saya syukur tidak perlu menggalas tugas untuk menyuruh akar umbi kita sokong DAP kerana itu bertentangan dengan pendirian saya," katanya.

Isham sebelum ini meminta Umno mengkaji semula hubungannya dengan DAP selepas prestasi hambar parti itu semasa enam pilihan raya negeri PRN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS